
Abang Johari bersama Uggah, Awang Tengah , Dr Sim dan yang lain memotong kek sebagai simbolik Majlis Amanat Perdana sempena ulang tahun kesembilan beliau sebagai Premier Sarawak hari ini. Gambar Chimon Upon
KUCHING: Tahun 2026 menandakan titik peralihan penting bagi Kerajaan Sarawak, apabila negeri ini memasuki fasa penentu yang menilai kredibiliti pembangunan berdasarkan hasil sebenar di lapangan dan bukannya sekadar janji.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah meletakkan strategi, institusi dan mekanisme pembiayaan yang diperlukan untuk pembangunan jangka panjang dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan fokus tahun ini mesti diterjemahkan kepada hasil yang tegas dan nyata.
“Projek yang sedia dilaksanakan mesti digerakkan secara tegas. Kekangan akibat proses bertindih, sikap terlalu berhati-hati terhadap risiko atau ketidakjelasan kuasa perlu diselesaikan segera.
“Malah, akauntabiliti terhadap hasil mesti dinyatakan jelas, dengan setiap inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mempunyai pemilik yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana sempena ulang tahun kesembilan beliau sebagai Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, penyelarasan mesti bergerak lebih jauh daripada sekadar perbincangan, dengan penggunaan data, alat digital dan pemantauan masa nyata bagi mempercepatkan pengambilan keputusan dan pelaksanaan.
“Platform antara agensi mesti menghasilkan garis masa yang jelas dan keputusan nyata, dengan isu-isu dibangkitkan segera apabila kemajuan perlahan.
“Akauntabiliti bermula dengan kepimpinan. Di setiap peringkat, prestasi dalam fasa ini diukur berdasarkan hasil di lapangan, bukan rancangan yang diumumkan atau niat yang diungkapkan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa apabila Sarawak memasuki fasa pembangunan lebih mencabar, penyampaian menjadi ukuran sebenar kredibiliti.
“Dasar yang diluluskan tetapi tidak dilaksanakan, peruntukan yang disediakan tetapi tidak dirasai dan rancangan yang diumumkan tetapi tidak disampaikan tidak lagi boleh diterima.
“Keadaan ini meletakkan tanggungjawab jelas ke atas Perkhidmatan Awam Sarawak. Peranan perkhidmatan awam hari ini bukan hanya dipandu oleh pematuhan tetapi oleh hasil yang dicapai.
“Tambahan pula, setiap dasar mesti mempunyai pemilikan jelas dan setiap program mesti menghasilkan keputusan, kerana kelewatan memberi kesan nyata kepada rakyat hari ini dan generasi akan datang.
“Prosedur sepatutnya mempercepat pelaksanaan, bukannya melambatkannya,” ujarnya.
Bagi mengukuhkan kapasiti pentadbiran jangka panjang, beliau berkata, negeri ini sedang melabur dalam pembangunan Institut Kepimpinan bagi Perkhidmatan Awam Sarawak, yang bertujuan meningkatkan kepimpinan, kompetensi tadbir urus dan keupayaan pelaksanaan.
Biarpun mengakui kemajuan telah dicapai, Abang Johari berkata cabaran seperti jurang wilayah, kelemahan penyampaian perkhidmatan dan keputusan tidak sekata masih memerlukan perhatian berterusan, disiplin dan tindakan susulan.
Beliau menekankan bahawa tanggungjawab pelaksanaan tidak terletak semata-mata pada perkhidmatan awam, tetapi memerlukan komitmen seluruh Sarawak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta, organisasi masyarakat sivil, institusi komuniti dan rakyat.
“Arah telah ditetapkan, sumber telah disediakan dan institusi kita telah diperkukuhkan. Apa yang diperlukan kini adalah pelaksanaan berdisiplin, konsisten dan berani,” katanya.
Berpandukan RMK13 Sarawak dan semangat Segulai Sejalai, Abang Johari menyeru semua pihak berkepentingan memastikan usaha pembangunan hari ini memberikan manfaat nyata kepada rakyat dan meninggalkan impak kekal untuk generasi akan datang.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sumber : Utusan Borneo
|