3 lelaki Myanmar didakwa miliki bahan meterai rasmi bagi pemalsuan dokumen Tiga lelaki warganegara Myanmar diiring anggota polis dari IPK Melaka untuk didakwa atas kesalahan terbabit dalam sindiket pemalsuan kad UNHCR di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. NSTP/NABILA ADLINA AZAHARI
KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warga Myanmar berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 55 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini, hari ini, atas pelbagai pertuduhan termasuk memiliki bahan meterai rasmi bagi tujuan pemalsuan dokumen.
Tertuduh, Ko Ko Lay Rafiq, 54; Kyaw Swar Lin, 30; dan Aung Paing Oo, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Di Mahkamah Sesyen, mereka didakwa secara bersama memiliki bahan meterai rasmi milik Jabatan Imigresen dan Kedutaan Myanmar dengan niat ia digunakan sebagai tulen.
Kesalahan mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan pada jam 9 malam 20 November 2025, di Residensi Unio, Jalan Kepong, di sini, dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.
Sebelum itu, ketiga-tiga tertuduh turut didakwa di Mahkamah Majistret atas tujuh pertuduhan mengikut Akta Pasport 1966 merangkumi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 12(1)(a) kerana memiliki pasport palsu dan empat pertuduhan mengikut Seksyen 12(1)(f) kerana memiliki pasport milik orang lain.
Selain itu, Swar Lin dan Paing Oo turut berdepan pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Sebelum prosiding bermula, peguam Ammanjeet Singh yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon pertuduhan dibacakan dalam bahasa Malaysia mudah memandangkan tertuduh pertama sudah menetap di negara ini selama 10 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Saravanan Meyappan, tidak menawarkan jaminan memandangkan semua tertuduh adalah warga asing tanpa pengesahan dokumen perjalanan sah.
Beliau turut memohon tempoh sebulan bagi serahan dokumen kerana membabitkan tiga jilid dokumen yang tebal. Mazuliana kemudian menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan dokumen perjalanan pelbagai negara asing menerusi operasi khas dilaksanakan secara berperingkat di Melaka serta Kuala Lumpur.
Sepanjang operasi dijalankan antara 8 November hingga 8 Disember 2025, seramai lapan individu ditahan membabitkan warga asing dan tempatan, termasuk dalang sindiket serta pihak disyaki berperanan membantu kegiatan berkenaan.
Tangkapan dibuat hasil maklumat risikan dan siasatan lanjut pihak PDRM. Pada operasi ini, polis turut merampas pelbagai dokumen palsu, termasuk pasport pelbagai negara, kad UNHCR palsu, cop kedutaan dan imigresen, selain peralatan lengkap pemalsuan dokumen seperti komputer, pencetak khas serta mesin laminasi.
Turut dirampas wang tunai dan mata wang asing bernilai lebih RM48,000 serta sebuah kenderaan. Kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan PDRM membanteras kegiatan jenayah terancang, khususnya pemalsuan dokumen yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.
|