Kulai: Polis menahan lelaki warga China bagi membantu siasatan kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah premis di kawasan Taman Eko Perniagaan 2, Senai Airport City di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya mengesan video yang tular dalam media sosial itu memaparkan bendera Malaysia dipasang terbalik jam 4 petang semalam.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan pemeriksaan dan menahan seorang lelaki warga China berusia 38 tahun.
"Polis Johor turut merampas sehelai bendera Malaysia.
"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing adalah negatif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Pindaan 2017) iaitu kesalahan penyalahgunaan lambang dan nama rasmi negara.
Menurutnya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 iaitu perbuatan kelakuan tidak senonoh di tempat awam atau yang boleh menimbulkan kegusaran, ketakutan atau maruah orang lain, jika sabit kesalahan boleh didenda RM100.
"Suspek juga disiasat bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/1963 iaitu kesalahan melanggar syarat pas, permit atau pas sempadan.
"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan," katanya.
Sumber : harian metro
|