Edited by Vellfire at 23-9-2025 03:36 PM
Perhimpunan Agung PBB minggu ini dijangka sorot genosid di Gaza, konflik Ukraine

Starmer berjabat tangan dengan Abbas pada permulaan mesyuarat mereka di kediaman rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street, London dalam gambar fail 8 September, 2025 ini. - Gambar AFP
LONDON: Britain, Australia, Kanada dan Portugal mengiktiraf Negara Palestin pada Ahad, satu peralihan bersejarah dalam polisi luar Barat yang menarik kemarahan rejim Israel dan bidasan sekutu kuatnya Amerika Syarikat (AS).
Negara-negara lain termasuk Perancis juga akan membuat pengumuman yang sama semasa rundingan utama pada perasmian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Isnin.
Sidang kemuncak tahunan itu akan dihadiri lebih 140 ketua negara dan topik kali ini dikuasai persoalan mengenai masa depan penduduk Palestin.
Namun seorang ketua negara yang tidak akan hadir ialah Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang dinafikan visa oleh Washington untuk hadir, berserta para pegawainya.
Abbas menyanjungi pengiktirafan tersebut sebagai langkah penting dan perlu ke arah mencapai keamanan yang adil dan berpanjangan.
Penduduk Semenanjung Gaza mengalu-alukan pengiktirafan itu sebagai satu kejayaan tetapi Benjamin Netanyahu berikrar negara itu tidak akan wujud.
AS juga mengkritik pengiktirafan itu sebagai bersifat kata-kata sahaja dan sebaliknya memfokus kepada usaha mencari penyelesaian diplomatik.
Rejim Israel berdepan tekanan besar antarabangsa ekoran keganasannya di Gaza yang mencetuskan malapetaka kemanusiaan.
"Ia tidak akan berlaku.
"Tiada negara Palestin akan diwujudkan di barat Sungai Jordan," tegas Netanyahu yang seterusnya berikrar akan meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah rejim sejak 1967.
Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer berkata, Britain secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin bagi menghidupkan semula harapan keamanan bagi warga Palestin dan Israel serta penyelesaian dua negara.
Britain dan Kanada merupakan negara anggota pertama dalam kalangan ekonomi maju Kumpulan Tujuh (G7) yang mengambil langkah tersebut.
Tiga suku anggota PBB kini mengiktiraf Negara Paelstin, dengan sekurang-kurangnya 145 daripada 193 negara anggota sudahpun berbuat demikian, menurut statistik AFP.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata, langkah tersebut mengiktiraf kesahihan dan aspirasi sejak sekian lama penduduk Palestin, manakala Menteri Luar Portugal Paulo Rangel menyeru bahawa penyelesaian dua negara satu-satunya laluan kepada keamanan yang adil dan berpanjangan.
Di Gaza, ramai melihat pengiktirafan itu sebagai pengesahan kepada kewujudan mereka sepanjang genosid tersebut. "Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa dunia akhirnya mulai mendengar suara kami dan perkara tersebut adalah kejayaan moral bagi kami," kata Salwa Mansour, 35, yang melarikan diri dari bandar selatan Rafah ke Al-Mawasi.
"Di sebalik segala kesengsaraan, kematian dan pembunuhan beramai-ramai yang kami hadapi, kami berpegang kepada apa sahaja yang membawakan walau setitik harapan," tambahnya.
Kerajaan UK semakin didesak rakaytnya untuk bertindak di mana ribuan berhimpun setiap bulan di jalanan. Starmer berkata pada Ahad bahawa Britain bertindak sedemikian dalam menghadapi peningkatan kengerian di Timur Tengah dan mengulangi seruan untuk gencatan senjata.
Starmer juga mengesahkan pelan untuk meningkatkan sekatan ke atas Hamas dan menafikan pengiktirafan itu sebagai satu ganjaran.
Masih banyak halangan perlu ditempuhi sebelum Palestin diiktiraf semula, termasuk mengenai siapa yang akan memerintah wilayah itu.
Penjuru senyap Manhattan yang menempatkan pencakar langit 38 tingkat yang menjadi ibu pejabat PBB dan Dewan Agung yang besar itu menyaksikan hiruk-pikuk pemeriksaan keselamatan, protes dan penutupan jalan ketika para pemimpin dunia berduyun-duyun tiba.
Selain Gaza, mesyuarat dan acara minggu ini akan menyorot penetapan semula sekatan ke atas program nuklear Iran, konflik berdarah di Ukraine dan pelanggaran ruang udara negara-negara jiran oleh Rusia.
|