Impian final Aaron-Wooi Yik di Masters China lebur
Saiful Affendy Sapran[email protected]

AARON-Wooi Yik terkandas di separuh akhir Masters China. FOTO EFFENDY RASHID
Kuala Lumpur: Impian untuk menyaksikan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke pentas final Masters China sekali gus mengikut jejak langkah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak kesampaian.
Ia selepas Aaron-Wooi Yik yang menduduki ranking kedua dunia tumbang di tangan beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 17-21, 14-21 pada aksi separuh akhir, hari ini.
Berlangsung di Shenzhen Arena, beberapa kesilapan mudah dilakukan oleh Aaron-Wooi Yik menyaksikan mereka tewas di set pertama.
Ketika beregu negara itu diharapkan mampu bangkit semula di set kedua, Rankireddy-Shetty yang menduduki ranking ketujuh dunia terus memberi tekanan sebelum meraih kemenangan mutlak.
Terdahulu Tang Jie-Ee Wei melangkah ke pentas final selepas menumbangkan gandingan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 22-24, 21-19, 21-17.
Tang Jie-Ee Wei akan bertemu gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada aksi final, esok.
Disiarkan pada: September 20, 2025 @ 9:12pm
https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2025/09/1266234/impian-final-aaron-wooi-yik-di-masters-china-lebur
|