Tokyo: Noah Lyles menyamai rekod Usain Bolt dengan memenangi empat gelaran dunia berturut-turut dalam acara 200 meter selepas merangkul kemenangan di Kejohanan Dunia di Tokyo, hari ini.
Lyles, yang sebelum ini meraih gangsa acara 100m di kejohanan ini, mencatatkan masa 19.52 saat dalam acara yang digelar sebagai 'roti dan mentega' kariernya.
Bolt memenangi empat kejuaraan berturut-turut dari 2009 hingga 2015, dan mengumpul 11 pingat emas dunia serta 8 emas Olimpik sepanjang kerjayanya.
Rakan sepasukan Lyles, Kenny Bednarek, meraih pingat perak dengan catatan 19.58 saat, manakala atlet Jamaica, Bryan Levell, memenangi gangsa dengan 19.64 saat.
Juara Olimpik dari Botswana, Letsile Tebogo, terpaksa berpuas hati di tempat keempat, hanya 0.01 saat di belakang tempat ketiga.
Manakala atlet Britain kelahiran Anguilla, Zharnel Hughes, satu-satunya pelari lain yang mencatat masa di bawah 20 saat, menduduki tempat kelima dengan 19.78 saat.
Lyles sebelum itu mencipta sejarah dengan mencatat masa terpantas dalam peringkat separuh akhir dalam mana-mana kejohanan apabila mencatat 19.51 saat semalam. Beliau diundi di lorong enam, di luar Tebogo dan di antara Levell dan Bednarek.
Seperti biasa dengan gaya flamboyannya, Lyles disambut dengan sorakan gemuruh ketika wajahnya ditayangkan di skrin besar di Stadium Nasional yang penuh sesak.
Tidak seperti di final 200m Olimpik Paris tahun lalu, di mana dia dikenakan denda kerana aksi masuk gelanggang yang terlalu berlebihan dengan melompat seperti menggunakan pogo stick.
Ketika itu dia dijangkiti Covid-19 dan hanya berjaya meraih gangsa, manakala Tebogo menang.
Lyles, yang tidak terkenal dengan permulaan pantas, tertinggal di belakang Levell sebaik keluar dari blok, tetapi berlari dengan lengkungan yang cemerlang untuk kembali bersaing apabila memasuki lorong lurus terakhir.
Kepantasan puncak Lyles di bahagian akhir perlumbaan, sama ada dalam 100m atau 200m, memang sukar ditandingi dalam litar dunia.
Dan kelebihan itu dimanfaatkannya sepenuhnya apabila dia bangkit dari tempat keempat untuk memecut ke garisan penamat di tempat pertama.
Lyles meraung kegembiraan ketika melintasi garisan penamat, sambil mengangkat empat jari sebagai tanda kejuaraan keempatnya, dan terus mencari ibunya, Keisha Caine Bishop, yang berada di tempat duduk penonton.