Misano Adriatico: Marco Bezzecchi menjuarai perlumbaan pecut MotoGP San Marino, hari ini, selepas Marc Marquez terjatuh ketika sedang berusaha untuk terus melebarkan penguasaannya dalam kejuaraan.
Pelumba Aprilia itu melengkapkan hari yang sempurna di Litar Marco Simoncelli, Misano Adriatico, dengan kemenangan dari petak utama sekali gus menggembirakan penyokong tuan rumah.
Pelumba berusia 26 tahun itu meraih maksimum 12 mata hasil kemenangan itu selepas Marc Marquez terbabas pada pusingan keenam, hanya sejurus selepas juara dunia enam kali itu merampas kedudukan pendahulu.
Pelumba Sepanyol itu sebelum itu sudah pun memecut memintas Fabio Quartararo dan adiknya, Alex Marquez dari petak keempat sebaik perlumbaan bermula, dan sebaik sahaja mendahului, ia seakan-akan hanya menunggu masa sebelum dia merekodkan kemenangan ke-15 daripada 16 perlumbaan pecut musim ini.
Bagaimanapun, tanpa mengira apa yang berlaku dalam GP esok, Marc Marquez tetap akan berpeluang untuk meraih gelaran juara di MotoGP Jepun dua minggu lagi dan menyamai tujuh kejuaraan milik seterunya, Valentino Rossi.
Kemalangannya itu yang mendapat sorakan sebahagian penonton walaupun dia mewakili Ducati, paling menguntungkan Alex Marquez yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, sekali gus merapatkan jurang dengan abangnya di tangga teratas kepada 174 mata.