Umar galas cabaran negara di Kejohanan Olahraga Dunia
Oleh Khairil S Iswan - September 8, 2025 @ 5:17pm

Umar Osman.
KUALA LUMPUR: Jaguh 400 meter (m) negara, Umar Osman akan menggalas cabaran Malaysia di pentas Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun dari 13 hingga 21 September ini.
Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) dalam satu kenyataan hari ini, mengumumkan pemilihan pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m lelaki itu untuk mewakili negara menerusi slot wildcard berikutan tiada atlet negara berjaya melepasi had kelayakan secara merit.
Pemilihan atlet berusia 22 tahun itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlang dan prestasi konsisten dipamerkannya sepanjang tahun ini, di samping potensi besarnya untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
Atlet kelahiran Johor itu adalah pemegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 46.09 saat (s).
Begitupun, catatan terbaiknya pada tahun ini adalah 46.25s yang direkodkan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea, Mei lalu.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, pihaknya yakin penyertaan Umar mampu menyuntik semangat dan menjadi inspirasi kepada seluruh peminat sukan tanah air.
"Olahraga Malaysia yakin penyertaan Umar akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, di samping menyemarakkan semangat perjuangan atlet negara di pentas dunia," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2025/09/1443663/umar-galas-cabaran-negara-di-kejohanan-olahraga-dunia
|