Kuala Lumpur: Skuad hoki negara, Speedy Tigers menutup kempen Kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India dengan menduduki tangga ketiga selepas menewaskan China 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat, hari ini.
Dalam perlawanan di Stadium Rajgir itu, anak buah Sarjit Singh tampil lebih garang berbanding aksi hambar sebelum ini dengan memanfaatkan kelebihan pukulan sudut penalti.
Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Norsyafiq Sumantri pada minit kelapan sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menggandakan kelebihan hasil jaringan padang pada minit ke-36.
Akhimullah terus menjadi duri dalam daging buat China apabila meledak gol keduanya pada minit ke-50 untuk meletakkan Speedy Tigers selesa mendahului 3-0.
China cuba bangkit menerusi jaringan Gao Jiesheng hasil pukulan sudut penalti minit ke-54, namun Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan memastikan kemenangan milik Malaysia dengan gol keempat seminit sebelum tamat.
Statistik perlawanan menyaksikan Malaysia memperoleh empat pukulan sudut penalti, manakala China berpeluang tujuh kali namun hanya sekali berjaya diterjemahkan kepada gol.
Kemenangan itu sedikit sebanyak mengubat kekecewaan skuad negara yang gagal mara ke pentas final selepas tewas dalam dua aksi awal menentang India dan Korea Selatan.
Sementara itu, pentas final kejohanan dijadual berlangsung jam 10 malam ini membabitkan tuan rumah India menentang Korea bagi menentukan juara edisi 2025.