Montmelo: Marc Marquez terus gah menguasai saingan MotoGP apabila memenangi perlumbaan Pecut di Catalunya, sebentar tadi, selepas adiknya, Alex Marquez, terpaksa berputih mata di hadapan penyokong sendiri.
Alex yang bermula dari petak utama bersama jentera Gresini Ducati tampak selesa di depan, namun hilang kawalan dengan baki empat pusingan sekali gus menyaksikan peluang keemasan itu terlepas begitu sahaja.
Insiden itu membuka ruang buat Marc untuk menambah koleksi kemenangan ke-14 dalam 15 aksi Pecut musim ini, dengan satu-satunya baki kejayaan diraih Alex di Silverstone.
Kekecewaan jelas terpancar apabila Alex meluahkan rasa kesal di hadapan penyokong tuan rumah, sementara Marc yang juga juara dunia enam kali, kini semakin selesa di tangga teratas dengan kelebihan 187 mata mengatasi adiknya di tempat kedua.
Fabio Quartararo menamatkan saingan di kedudukan kedua manakala Fabio Di Giannantonio meraih tempat ketiga.
Kemenangan Marc turut memastikan Ducati yang diwakili tiga pasukan, berjaya mengesahkan gelaran Juara Pengeluar Dunia 2025.