Marquez menang perlumbaan pecut GP Hungary
Ogos 23, 2025 @ 10:06pm

Pelumba Ducati, Marc Marquez memenangi perlumbaan pecut Grand Prix Hungary di Litar Balaton Park, Balatonfokajar. - Foto AFP
BALATONFOKAJAR, Hungary: Marc Marquez mengukuhkan dominasi MotoGP dengan memenangi perlumbaan pecut Grand Prix Hungary di Litar Balaton Park.
Ia adalah kemenangan ke-13 Marquez dalam 14 pusingan musim ini dan melebarkan jurang kejuaraan kepada 152 mata.
Pelumba Ducati itu memimpin dari awal hingga ke garisan penamat tanpa memberi peluang kepada pencabar.
Podium turut dihuni oleh duo VR46 Racing, Fabio Di Giannantonio dan Franco Morbidelli, manakala Luca Marini di tempat keempat menghadiahkan Honda satu keputusan positif yang jarang berlaku musim ini.
Aksi pembukaan penuh drama menyaksikan tiga pelumba tersingkir akibat insiden berasingan, dengan bintang Yamaha Fabio Quartararo menjadi punca utama selepas terbabit dalam pelanggaran di selekoh pertama.
Dalam saingan kejuaraan, Alex Marquez (Gresini Racing) yang berada di kedudukan kedua hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, manakala rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia, di kedudukan ketiga keseluruhan, terpaksa berpuas hati di tempat ke-13. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/08/1437155/marquez-menang-perlumbaan-pecut-gp-hungary
|