London: Red Bull Racing secara rasmi menamatkan semua hubungan dengan bekas prinsipal dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Christian Horner.
Pemecatan Horner pada Julai lalu kini dimuktamadkan apabila dokumen rasmi yang difailkan kepada Companies House, badan penyimpan rekod perniagaan di United Kingdom, menyenaraikan tarikh penamatan kontraknya pada Rabu lalu.
Stefan Salzer dilantik sebagai pengarah pasukan Formula Satu itu pada 8 Julai, sehari selepas Horner dipecat daripada jawatannya.
Bagaimanapun, Horner kekal sebagai kakitangan secara teknikal sehingga dokumen penamatan difailkan bagi pihak Red Bull Racing Limited dan Red Bull Technology Limited.
Laurent Mekies, yang sebelum ini mengetuai pasukan Visa Cash App Racing Bulls, diumumkan sebagai prinsipal baharu Red Bull Racing.
Sepanjang kariernya bersama Red Bull, Horner, 51, membimbing pasukan meraih 124 kemenangan Grand Prix, lapan kejuaraan dunia pemandu, menerusi Max Verstappen dan empat oleh Sebastian Vettel, selain enam gelaran keseluruhan pengeluar.