
Gambar hiasan
HONG KONG: Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan amaran tahap tertinggi bagi Taufan Wipha pada 9.20 pagi waktu tempatan Ahad, lapor Xinhua.
Amaran Isyarat Taufan No. 10 itu dikeluarkan susulan petunjuk bahawa Taufan Wipha akan melanda dengan kelajuan angin 118 kilometer sejam atau lebih.
Wipha akan berada paling hampir dengan Hong Kong dalam beberapa jam akan datang dan amaran tahap tertinggi itu dijangka terus berkuat kuasa untuk suatu tempoh.
Akibat ribut itu, banyak perkhidmatan awam dan aktiviti di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) telah digantung.
Sebilangan besar penerbangan dibatalkan atau dijadualkan semula.
Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri kerajaan HKSAR telah membuka pusat perlindungan sementara untuk mereka yang memerlukan.
Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan pantai semasa cuaca buruk.
|