Demi sambung belajar, remaja ambil upah tolak jentera bajak sawah
Oleh Nurul Fatihah Sulaini - Julai 20, 2025 @ 11:41am

Tuan Mohamad Rasydan Tuan Rosli (kanan) dan Tuan Muhammad Danish Haikal Tuan Rosli,15, membantu ayah mereka Tuan Rosli Tuan Hussin membajak swasta bagi menambah pendapatan keluarga. - Foto NSTP/ GHAZALI KORI.
BESUT: Seorang remaja sanggup berpanas terik menolak jentera membajak sawah demi mengumpul wang bagi menyambung pelajaran.
Tuan Mohammad Rasydan Tuan Rosli, 18, berkata beliau membantu ayahnya Tuan Rosli Tuan Hussin, 42 membajak sawah untuk menambahkan pendapatannya selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian di dalam bidang Diploma Reka Bentuk Fesyen Batik di Politeknik Besut bermula 27 Julai ini.
Katanya, bapanya, hanya melakukan kerja kampung manakala ibunya, Nor Ashura Darani, 39, suri rumah.
"Ketika menerima tawaran belajar perasaan saya bercampur baur gembira tetapi dalam masa sama memikirkan keadaan kewangan keluarga yang tidak menentu.
"Saya anak kedua daripada lima adik beradik dan empat daripada kami masih bersekolah serta memerlukan belanja tinggi setiap bulan.
"Kakak sulung saya akan menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini," katanya ketika ditemui di Kampung Telaga Nibong, di sini, semalam.

Tuan Mohamad Rasydan Tuan Rosli, 18, mengambil upah membajak tanah sawah demi mengumpul wang bagi menyambung pelajaran di Kampung Telaga Nibong, Jerteh. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Rasydan berkata, dia amat meminati bidang seni sejak dari kecil, suka melukis dan menyimpan cita-cita ingin menjadi seorang guru seni.
"Kebetulan sekarang musim tanam padi, saya serta adik Tuan Muhammad Danish Haikal Tuan Rosli,15, membantu ayah dengan mengambil upah membajak sawah orang kampung.
"Kebiasaannya upah bagi satu ekar tanah kira-kira RM 150 dan saya akan keluar seawal jam 7 pagi untuk bekerja serta pulang waktu tengah hari," katanya.
Katanya, segala persiapan untuk melaporkan diri masih belum dibeli kerana perlu menunggu bayaran upah hasil kerja membajak itu.
Sementara itu, Tuan Rosli berkata, dia menaruh harapan tinggi terhadap Tuan Mohammad Rasydan untuk berjaya dalam pelajaran.
"Kerja membajak sawah ini hanya sementara bukan sepanjang tahun, jika bukan musimnya saya akan melakukan kerja lain seperti mengambil upah buat kerja kampung," katanya.
Sementara itu, wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Mohd Iskandar Ismail serta Nurul Shamira Mohd razali turut hadir menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang keperluan asas kepada keluarga berkenaan.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2025/07/1422192/demi-sambung-belajar-remaja-ambil-upah-tolak-jentera-bajak-sawah
|