Mohd Zaini kini memangku jawatan Ketua Polis Selangor
Oleh BERNAMA - Julai 18, 2025 @ 5:58pm

Abdul Aziz (tengah) menyaksikan penyerahan tugas antara Hussein (kiri) kepada Mohd Zaini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan kini memangku jawatan Ketua Polis Selangor, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas Datuk Hussein Omar Khan yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bermula 21 Julai ini.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Hussein dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PDRM atas kepercayaan dan sokongan sepanjang dua tahun lima bulan beliau menjawat jawatan Ketua Polis Selangor, dengan begitu banyak kejayaan dicapai dalam tempoh tersebut.
Antara kejayaan termasuk menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus tahun lepas selain menggagalkan pelbagai cubaan penyeludupan dadah berskala besar dengan rampasan mencecah ratusan juta ringgit.
Hussein berkata dalam tempoh 2023 dan 2024, polis Selangor merampas lebih 10 tan dadah bernilai RM300 juta sekali gus menghalang dadah itu sampai kepada lebih 21 juta pengguna.
"Kontinjen Selangor turut menahan 22,000 suspek pada 2023 dan meningkat kepada 40,000 orang tahun berikutnya manakala Jabatan Siasatan Jenayah Komersial membuka kertas siasatan melibatkan 7,115 kes pada 2023 dengan kerugian RM510 juta dan 7,731 kes pada 2024 melibatkan kerugian RM680 juta," katanya.
Hussein berkata dalam aspek penguatkuasaan, polis trafik mengeluarkan 1.06 juta saman sepanjang 2023 dengan kutipan RM135.7 juta dan 1.13 juta saman tahun lepas dengan kutipan berjumlah RM128 juta.
Beliau berkata semua kejayaan itu cerminan terhadap dedikasi setiap pegawai serta anggota termasuk petugas awam yang bekerja secara berpasukan dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan kontinjen Selangor.
Terdahulu majlis turut menyaksikan penyerahan tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Selangor oleh Liliyana Haryanti Mohd Harunizam kepada pemangkunya, Zurim Md Khalid yang disaksikan Pengerusi PERKEP Jabatan Pengurusan PDRM Datin Selmiah Tuan Ibrahim. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1421641/mohd-zaini-kini-memangku-jawatan-ketua-polis-selangor
|