CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 955|Reply: 0

Manja ada batasnya

[Copy link]
Post time 2-5-2025 08:36 AM | Show all posts |Read mode


DI sebalik wajah manis dan gelak tawa si kecil, ada satu cabaran besar kadang kala tidak disedari ibu bapa.


Kesan terlalu memanjakan anak yang berpotensi membawa kepada 'Princess Syndrome' apabila mereka menginjak dewasa.


Princess Syndrome merujuk kepada satu pola pemikiran seseorang berhak mendapat layanan istimewa, tanpa perlu berusaha keras atau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya.


Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS) Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, berdasarkan kajian, Princess Syndrome bermula apabila kanak-kanak terlalu dipuji, terlalu dilindungi atau diberikan keistimewaan melampau sehingga mereka membesar dengan kepercayaan bahawa dunia harus memenuhi kehendak mereka.




Katanya, pada asasnya, mereka diajar secara tidak sedar bahawa mereka lebih istimewa berbanding orang lain.


"Apabila anak-anak ini dewasa, mereka mungkin mengalami kesukaran dalam membina hubungan yang sihat, menghadapi kegagalan atau bertolak ansur dengan cabaran hidup kerana mereka tidak dibiasakan mengurus kekecewaan atau menyesuaikan diri dengan realiti.


"Ini turut dijelaskan bahawa individu dengan sindrom ini sering sukar untuk menerima kritikan, cepat merasa kecewa apabila tidak mendapat apa yang diinginkan dan cenderung mempunyai jangkaan tidak realistik terhadap kehidupan dan hubungan.


"Mereka juga mungkin menunjukkan tanda-tanda kurang daya tahan emosi dan masalah dalam pengurusan diri serta kerjaya," katanya.


Menurutnya, fasa awal kanak-kanak adalah tempoh kritikal perkembangan emosi, sosial, fizikal dan kognitif.


"Ketika usia antara dua hingga enam tahun, kanak-kanak sedang membina konsep kendiri ('self-concept') melalui interaksi mereka dengan dunia sekeliling.


"Mereka belajar memahami konsep kejayaan dan kegagalan, empati terhadap orang lain serta toleransi terhadap kekecewaan," katanya.




Namun, apabila kanak-kanak terlalu dimanjakan, peluang mereka untuk melalui pengalaman penting ini menjadi terbatas.


Beliau berkata, kanak-kanak ini mungkin tidak belajar untuk menunggu giliran atau berkongsi yang menjadi asas perkembangan sosial.


"Selain itu mereka berkemungkinan gagal membina daya tahan ('resilience') dalam menghadapi cabaran kecil kehidupan dan tidak berkembang secara matang dalam pengurusan emosi kerana tidak diajar untuk mengurus kekecewaan serta frustasi.


"Kanak-kanak ini juga berisiko mempunyai pemikiran egosentrik berpanjangan yang sepatutnya berkurangan seiring dengan pertumbuhan umur," katanya.


Mohd Shawani berkata, faktor utama yang mendorong kepada Princess Syndrome ialah gaya keibubapaan yang terlalu memanjakan anak.


"Antara tindakan memanjakan anak termasuk memberi semua yang diminta tanpa batasan dan melindungi anak daripada semua bentuk kesusahan atau kegagalan.


"Ibu bapa yang terlalu memuji secara berlebihan tanpa asas kukuh terhadap usaha sebenar anak dan tidak mendidik anak untuk bertanggungjawab atas tindakan mereka turut menyumbang terhadap Princess Syndrome," katanya.




Jelasnya, niat asal ibu bapa mungkin baik kerana mahu membahagiakan anak namun tanpa panduan seimbang, ia boleh membentuk peribadi yang rapuh dan tidak matang.


Kesannya dalam kehidupan dewasa, individu yang terlalu dimanjakan sejak kecil akan membesar dengan Princess Syndrome.


"Keadaan ini menyebabkan individu itu mengalami kesukaran dalam hubungan sosial dan romantik kerana kurang empati serta keterampilan kompromi dan mudah kecewa di tempat kerja kerana mengharapkan pengiktirafan tanpa usaha konsisten.


"Pada masa sama, individu itu boleh mengalami tekanan emosi kerana ketidakupayaan menghadapi kegagalan atau kritikan selain kurang berdikari dan mudah bergantung kepada orang lain untuk menyelesaikan masalah," katanya.


Dalam hal ini, ibu bapa atau pendidik memainkan peranan penting untuk mencegah Princess Syndrome perlu ditangani daripada awal.


"Antara langkah boleh diambil adalah memberi kasih sayang seimbang dengan had dan disiplin, selain membenarkan anak mengalami kegagalan kecil sebagai sebahagian proses pembelajaran.


"Ibu bapa boleh memuji usaha, bukan hanya pencapaian semata-mata dan mendidik nilai empati, kesyukuran, serta daya tahan sejak usia awal.


"Selain itu beri ruang kepada kanak-kanak mengurus konflik dan cabaran secara bertahap dengan sokongan, bukan mengambil alih semua masalah mereka," katanya.




Beliau berkata, kasih sayang kepada anak bukan bermakna memenuhi semua kehendaknya tanpa batasan.


"Dalam konteks perkembangan kanak-kanak, keseimbangan antara kasih sayang, disiplin serta bimbingan kecekapan emosi kunci membentuk insan yang kuat, berdikari dan matang.


"Ini kerana di akhirnya, kita bukan sekadar membesarkan seorang 'puteri' atau 'putera kecil' tetapi membina seorang manusia seimbang yang mampu mengharungi kehidupan sebenar dengan penuh ketahanan dan empati." katanya. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2026 03:26 AM GMT+8 , Processed in 0.096377 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list