Shahnaz pangku tugas Ketua Polis Daerah Serdang
AHMAD ISMADI ISMAIL
16 April 2025 11:16am

Hussein (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Serdang. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
SERDANG - Superintenden Shahnaz Akhtar Haji memangku tugas Ketua Polis Daerah Serdang berkuat kuasa pada Rabu.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang memangku jawatan itu menggantikan Senior Asisten Komisioner A A Anbalagan yang dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas Kedah.
Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada Rabu, disaksikan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Hussein berkata, kenaikan pangkat itu merupakan satu amanah dan ia juga melambangkan kepercayaan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kebolehan Anbalagan.
“Anbalagan yang memegang jawatan Ketua Polis Daerah Serdang bermula 15 Jun 2021 dengan penuh dedikasi dan sumbangan luar biasa.
“Sepanjang tempoh lebih tiga tahun perkhidmatan beliau (di Serdang), beliau memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas selesai menyaksikan upacara serah terima tugas antara Shahnaz dan Anbalagan.
Sementara itu, Anbalagan dalam ucapannya berkata, pelantikan beliau sebagai Ketua Cawangan Khas boleh diibaratkan sebagai ‘sirih pulang ke gangang’.
"Sebelum ini, saya berkhidmat kira-kira 22 tahun sebagai pegawai di dalam Cawangan Khas," katanya.
Beliau berkata, ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Serdang, beliau diamanahkan untuk menurunkan kadar indeks jenayah yang sangat tinggi pada ketika itu.
“Saya amat bersyukur atas kerjasama mantap daripada semua lapisan warga IPD Serdang, berkat usaha bersama, kita berjaya menurunkan kadar indeks jenayah dan mengekalkannya hingga ke hari ini,” katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/723148/berita/semasa/shahnaz-pangku-tugas-ketua-polis-daerah-serdang
|