|
|
KUALA LUMPUR: Mata wang Indonesia, rupiah, merosot ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia hampir tiga dekad lalu, berikutan kebimbangan terhadap kedudukan fiskal ekonomi terbesar Asia Tenggara itu. Bagaimanapun, ia kembali mengukuh sedikit selepas campur tangan bank pusat.
Rupiah susut sehingga 0.5 peratus kepada 16,640 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), paras paling lemah sejak kejatuhan ketara yang berlaku pada Jun 1998. Kali terakhir, mata wang itu diniagakan pada paras terendah hampir sebulan iaitu 16,590 sedolar. Setakat tahun ini, rupiah telah kehilangan lebih tiga peratus nilainya dan menjadi antara mata wang pasaran sedang membangun paling terjejas.
Pegawai Bank Indonesia (BI) memberitahu Reuters bahawa bank pusat campur tangan bagi menyokong nilai rupiah yang terkesan akibat faktor global dan domestik, termasuk permintaan pasaran tempatan untuk tujuan penghantaran pulang modal serta pembayaran lain.
Kebimbangan terhadap kestabilan fiskal jangka panjang Indonesia turut meningkat susulan rancangan perbelanjaan populis Presiden Prabowo Subianto, cadangan untuk menempatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan dana kekayaan negara baharu, serta perluasan peranan tentera dalam masyarakat awam.
Situasi ini diburukkan lagi minggu lalu apabila timbul khabar angin mengenai peletakan jawatan Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati, yang dikenali kerana tegas mengawal perbelanjaan kerajaan. Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan itu dan berikrar untuk mengekalkan disiplin fiskal negara.
Menurut Penganalisis Mata Wang OCBC, Christopher Wong, prestasi lemah rupiah berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kebimbangan fiskal, defisit akaun semasa yang tidak dijangka, kelembapan ekonomi, serta jangkaan bahawa BI mungkin perlu melonggarkan dasar monetari dalam masa terdekat.
Sementara itu, indeks utama Bursa Jakarta naik satu peratus, pulih daripada paras terendah dalam tempoh lebih tiga tahun yang dicatatkan pada Isnin, didorong oleh pemulihan dalam sektor kewangan.
Penganalisis Penyelidikan Ekuiti Nomura, Tushar Mohata, berkata kebimbangan pelabur mungkin telah mencapai kemuncaknya, sekali gus menjadikan pasaran ekuiti lebih berpotensi untuk meningkat.
"Apabila isu-isu ini diperjelaskan dari semasa ke semasa, kami melihat peluang memandangkan pasaran kini telah mengambil kira terlalu banyak sentimen negatif dan nisbah risiko-pulangan menjadi semakin menarik," katanya.
Namun, meskipun terdapat tanda pemulihan, indeks utama Bursa Jakarta masih antara pasaran saham berprestasi terburuk di rantau ini dengan penyusutan 12 peratus setakat tahun ini. Pelabur asing dilaporkan telah menjual lebih AS$2 bilion (RM9.46 bilion) saham dalam tempoh tersebut.
Sementara itu, di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura melonjak ke paras tertinggi baharu, diterajui oleh sektor perbankan, manakala dolar tempatan tidak berubah. Ringgit Malaysia susut 0.2 peratus, sementara baht Thailand merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga minggu.
Saham di Taiwan dan Malaysia masing-masing meningkat sekitar 0.7 peratus, manakala pasaran saham Filipina susut 0.4 peratus. — Reuters
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|