|
View: 526|Reply: 0
|
Tradisi aneh suku kaum wanita di Himalaya ini, sumbat hidung supaya kelihatan buruk agar tidak diculik musuh
[Copy link]
|
|
|
Suku Apatani merupakan salah satu kumpulan etnik utama di timur Himalaya, dalam daerah Lower Subansiri di wilayah Arunachai Pradesh di bahagian timur laut India. Antara banyak suku kaum yang ada di lembah ini, suku Apatani yang kini seramai kira-kira 60,000 orang merupakan suku yang paling popular.
Ini kerana keunikan yang ada pada kaum wanita suku ini. Bagi pengunjung luar yang datang ke daerah mereka, pasti akan berasa pelik melihat sebahagian wanita Apatani yang bersumbat lubang hidung mereka dengan wajah yang ‘berconteng’.
Pemakaian sumbat hidung tersebut kekal sepanjang hayat mereka. Keunikan hidung mereka membuatkan mereka tampil berbeza dan begitu menonjol berbanding suku-suku lain. Bagaimana mereka melakukannya?
Penyumbat berwarna hitam yang diperbuat daripada buluh lazimnya akan dipotong mengikut ukuran lubang hidung. Kemudian, penyumbat tadi disumbat ke dalam rongga hidung sehingga tertutup kemas. Penyumbat hidung ini biasanya akan diganti setahun sekali sehinggalah saiz lubang hidung lama kelamaan membesar sehingga saiznya boleh berukuran diameter lima sentimeter atau bersamaan panjang ibu jari.
Selain mengubah suai bentuk hidung, kaum wanita akan mengukir dua set tatu pada wajah mereka atau dalam bahasa tempatan disebut ‘yaping hurlo‘. Satu garisan selari dari dahi ke hujung hidung dan satu lagi pada bahagian dagu.
Kaum lelaki terlepas daripada melakukan amalan menutup atau menyumbat lubang hidung kerana perbuatan ini cuma direalisasikan di kalangan kaum wanita saja. Soalnya, mengapa amalan ini terikat pada gender wanita saja.
Sebenarnya, ada kisah di sebalik menyumbat lubang hidung ini. Jika yang melihatnya menganggap ia tampak buruk, memang itu pun tujuan asal ia dilakukan.
Menurut cerita, amalan pelik ini lahir apabila tercetusnya peperangan antara suku Apatani dan suku Nishi. Suku Nishi dikatakan sering menculik gadis suku Apatani kerana dianggap antara yang tercantik berbanding wanita daripada suku-suku lain.
Justeru bagi mengelak diculik, kaum wanita Apatani mula menyumbat hidung dan mengukir tatu pada wajah untuk kelihatan jelik serta tidak menarik. Kerana keanehan rupa paras mereka, suku lain akhirnya tidak berani lagi mengusik, apatah lagi menculik wanita Apatani. Keberkesanan menerusi kaedah ini menyebabkan ia menjadi amalan dan diteruskan selama bertahun-tahun lamanya.
Namun, selepas gencatan senjata ditandatangani antara suku Apatani dan suku Nishi pada tahun 1960-an, amalan pelik ini perlahan-lahan mula dihentikan. Arus kemodenan membuatkan para wanita Apatani yang lahir pada zaman moden kebanyakannya sudah tidak lagi mahu meneruskan tradisi ini.
Apa yang dilihat hari ini, kebanyakan wanita yang sudah berusia yang masih kekal memakai penyumbat hidung dan tatu di wajah mereka, membuktikan sisa-sisa peninggalan tradisi lama yang pernah menjadi amalan kaum mereka suatu ketika dahulu.
Sumber: Utusan TV
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|