CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 509|Reply: 0

Jemaah wanita imarahkan masjid dengan bertadarus

[Copy link]
Post time 21-3-2025 11:37 PM | Show all posts |Read mode

Kota Bharu: Bertepatan dengan Ramadan bulan al-Quran, amalan tadarus sudah pasti menjadi pengisian utama umat Islam.

Masjid atau surau terus diimarahkan dengan kelompok jemaah yang fokus bertadarus sambil mendapat tunjuk ajar guru yang memperbetulkan bacaan masing-masing.

Tidak terkecuali Masjid Jamek Muhammadi, di Kota Bharu yang sentiasa 'hidup' lebih-lebih lagi pada Ramadan apabila lokasinya yang strategik di tengah pusat bandar semestinya menjadi tumpuan jemaah datang beribadat.

Setiap pagi sepanjang Ramadan, beberapa kelompok kecil jemaah wanita tekun bertadarus di ruang dewan muslimat selama empat jam dan pastinya bertujuan mengumpul pahala sempena bulan mulia.

Bagi Zabidah Mamat, 73, amalan bertadarus di Masjid Jamek Muhammadi sudah sebati dengannya setiap kali Ramadan dan kali ini sudah memasuki tahun ke-20 buatnya.

Warga emas berasal dari Kampung Baung Bayam itu tiba jam 8 pagi lagi untuk bertadarus di masjid terbabit meskipun di sekitar kediamannya masih banyak masjid atau surau lain.

"Sangat rugi bagi sesiapa yang tidak bertadarus pada Ramadan, sebaliknya hanya memenuhi masa dengan perkara tidak berfaedah sedangkan bulan mulia sebeginilah kita berlumba-lumba mengutip pahala.

"Setiap pagi hanya empat jam sahaja masa diambil bertadarus, selebihnya saya akan pulang ke rumah dan menguruskan kerja rumah namun membaca al-Quran secara sendirian tidak dilupakan," katanya.

Setiap hari kira-kira 70 jemaah wanita bertadarus dalam lima kumpulan dengan menerima tunjuk ajar seorang ustazah yang akan membetulkan bacaan sekali gus melancarkan aktiviti tadarus.

Menurut Ustazah Asmah Awang Kechik, 65, aktiviti tadarus bermula jam 8.30 pagi sehingga 12 tengah hari dengan tiga hingga empat juzuk akan dibaca setiap hari dan menjelang 15 Ramadan, semua peserta tadarus sudah boleh khatam al-Quran.

Jemaah wanita yang datang bertadarus bukan sahaja dari sekitar Kota Bharu, tetapi juga dari daerah luar termasuk Tumpat dan Bachok sekali gus membuktikan tiada halangan jika niat bertadarus itu kuat.

"Ramadan bulan al-Quran dan sebaiknya kita mengambil kesempatan bertadarus yang bukanlah mengambil masa lama pun, berbanding membuang masa melayan media sosial seharian.

"Tidak dinafikan warga emas lebih ramai bertadarus berbanding anak muda dan kita faham kerana mereka ada kekangan kerja hakiki. Tetapi bagi saya suri rumah tangga boleh 'mencuri' sedikit masa bersama-sama tadarus.

"Jika tidak mampu untuk berlama-lama, boleh sahaja tadarus setakat masa terluang kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," katanya yang sudah 20 tahun menjadi guru tadarus dilantik masjid berkenaan.


Sumber: BH Online

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-2-2026 06:01 PM GMT+8 , Processed in 0.045656 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list