Melaka: 'Ibarat sireh pulang ke gagang' apabila anak jati Masjid Tanah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Jefferi Abdullah kembali menabur bakti di negeri kelahirannya selepas dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis (TKP) Melaka yang baharu.
Bekas Komander Unit Tindakhas, Pasukan Gerakan Khas, Bukit Aman itu mengambil alih jawatan 'No 2' itu daripada itu daripada SAC Datuk Md Nazri Zawawi berkuat kuasa semalam.
Majlis Serah Terima Tugas Jawatan TKP Melaka antara Md Nazri dengan Ahmad Jefferi disaksikan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pagi semalam.
Berdasarkan kenyataan di Facebook rasmi IPK Melaka, Md Nazri yang sebelum ini menjawat jawatan TKP Melaka selama setahun tujuh bulan akan bertukar ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman sebagai Ketua Lesen Pasukan, (Lesen Senjatapi), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Bukit Aman.
"Datuk Dzulkhairi dalam ucapannya, menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Md Nazri atas segala komitmen serta taat setia yang diberikan sepanjang berkhidmat di negeri ini.
"Beliau juga berharap Ahmad Jefferi dapat menjalankan amanah diberikan itu dengan sebaik mungkin serta bersama-sama beliau mengemudi PDRM Melaka supaya terus relevan serta memastikan penugasan kepolisan di negeri ini dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat," kata kenyataan itu.
Untuk rekod, Ahmad Jefferi menyertai PDRM sebagai Inspektor pada 1993 dan pernah diberikan kepercayaan sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah serta Selangor sebelum bertukar ke Bukit Aman.