|
|
MARANG: Nekbat sejenis kuih yang unik kerana 'menjelma' dan menjadi buruan pada bulan Ramadan sehingga pengusaha terpaksa bersengkang mata hingga ke awal pagi menyiapkannya.
Sabri Idris, 47, dari Kampung Sena Rendang, dekat sini berkata, setiap hari dia bersama ahli keluarga perlu menyiapkan kira-kira 11,000 biji nekbat.
Bagi menghasilkan nekbat dalam jumlah itu dia menggunakan 1,000 biji telur dan 30 kilogram (kg) tepung beras setiap hari.
Katanya, dia bersama enam ahli keluarga mula membuat nekbat pada jam 8 pagi hingga jam 1 tengah hari sebelum disambung jam 8 malam hingga ke 4 pagi.
"Rutin itu dilakukan bagi memastikan jumlah nekbat yang dihasilkan mencukupi menampung jumlah permintaan yang tinggi daripada peniaga setiap hari.
"Nekbat yang dihasilkan biasanya sudah ada tempahan dari peniaga dan individu datang membelinya secara runcit di sini," katanya.
Menurutnya, nekbat dijual kepada pemborong pada harga RM27 bagi 100 biji manakala bagi jualan runcit berharga RM1 bagi tiga biji.
Katanya, pembuatan nekbat amat ringkas apabila telur hanya perlu diadun bersama tepung beras sebelum dikisar namun jumlah penghasilan yang banyak mengakibatkan dia terpaksa bersengkang mata menyiapkannya.
Sabri berkata, Ramadan adalah bulan rezeki buat dia sekeluarga kerana nekbat hanya dibuat hanya pada bulan ini dan tidak boleh diperoleh pada bulan-bulan lain.
Seorang lagi pembuat nekbat, Hajar Hashim, 53, berkata, dia turut membuat nekbat pada dua sesi iaitu pada jam 8 pagi hingga jam 2 petang dan jam 8 malam hingga jam 4 pagi.
"Sehari saya bersama anak mampu menyiapkan 6,000 hingga 7,000 biji nekbat dengan menggunakan 700 hingga 800 biji telur yang diadun bersama tepung beras.
"Walaupun sudah menghasilkan nekbat dalam jumlah besar saban hari ia masih belum dapat memenuhi permintaan yang kian meningkat saban tahun.
"Ada juga pelanggan pulang dengan tangan kosong kerana nekbat dihasilkan sudah ditempah pelanggan lain," katanya.
Selain menjual terus kepada pelanggan yang datang ke bangsal membuat nekbat, dia turut menghantar kuih tradisional itu ke Pasar Besar Kedai Payang dan Pasar Borang Gong Pauh, di Kuala Terengganu.
Sumber: BH Online
|
|