
(Duduk dari empat kiri) Galong bersama Lee serta yang lain semasa sesi mesyuarat berhubung aktiviti gotong-royong pascabanjir di Pejabat Residen Miri, hari ini.
MIRI: Penduduk Kampung Lereng Bukit yang sebelum ini dipindahkan berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.
Residen Miri Galong Luang berkata, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa pembangunan bahagian yang dipengerusikannya semalam.
Katanya, sebelum keputusan itu dibuat beliau sendiri telah merujuk perkara tersebut kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
"Keputusan membenarkan penduduk terbabit pulang ke kediaman masing-masing dibuat berikutan laporan oleh Jabatan Meteorologi dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia yang menunjukkan keadaan cuaca dijangka kembali normal meskipun ada hujan turun sekali-sekala.
"Walaupun kebanyakan penduduk dibenarkan pulang, namun penghuni sembilan rumah yang diklasifikasikan sebagai kritikal tidak dibenarkan berbuat demikian atas faktor keselamatan," katanya sambil memberitahu, penduduk juga sudah sedia maklum bahawa kawasan itu berisiko tinggi.
Galong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berhubung aktiviti gotong-royong pascabanjir di Pejabat Residen di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri.
Sehubungan itu katanya, keluarga yang terjejas akan terus tinggal di Kampung Sukan PETRONAS di sini.
Beliau juga memberitahu, pihak polis yang ditugaskan memantau kampung berkenaan menamatkan operasi mereka hari ini.
"Pada awalnya, polis menjalankan operasi keselamatan di situ untuk memastikan keselamatan penduduk dan rumah mereka selepas mereka dipindahkan akibat tanah runtuh," katanya.
Dalam pada itu menurut Galong, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri akan mengadakan aktiviti gotong-royong pada Sabtu ini untuk membantu penduduk membersihkan rumah dan kampung mereka selepas banjir.
Untuk rekod, penduduk Kampung Lereng Bukit dipindahkan susulan beberapa kejadian tanah runtuh pada 28 Januari lalu.
Manakala runtuhan teruk yang berlaku awal pagi 29 Januari lalu telah meragut nyawa lima sekeluarga yang terdiri daripada seorang wanita warga emas, anak perempuannya dan tiga cucunya.
|