CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 15864|Reply: 0

Kos hantar pulang pendatang guna pesawat tentera cecah AS$10,000 seorang

[Copy link]
Post time 9-2-2025 07:57 AM | Show all posts |Read mode

Seorang peserta yang menyertai tunjuk perasaan di Los Angeles. - FOTO AFP

New York: Pentadbiran Trump telah mula menggunakan pesawat tentera untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin.

Walaupun ia menghasilkan imej politik yang baik, namun penerbangan itu memakan belanja yang mahal - sebanyak AS$1 juta dalam kes pengusiran ke India baru-baru ini, menurut analisis AFP.

Malah penerbangan tentera boleh berakhir dengan kos tiga kali ganda lebih tinggi berbanding penerbangan awam.

Walaupun kebanyakan pendatang yang disasarkan untuk dibuang berasal dari Amerika Latin, ada juga yang dihantar pulang lebih jauh ke seluruh dunia.

Pada Rabu, sebuah pesawat kargo Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) mendarat di Amritsar, India, membawa 104 warga India yang telah memasuki AS secara haram, menurut kenyataan kerajaan AS.

Penerbangan itu dipercayai merupakan penggunaan pertama pesawat tentera untuk menghantar pulang warga India.

Imej yang dirakam oleh jurugambar AFP menunjukkan bahawa pesawat yang digunakan ialah C-17A Globemaster III, sebuah pesawat tentera besar yang mampu mengangkut tentera, kenderaan dan bekalan.

Globemaster ialah pesawat Tentera Udara AS, dan telah digunakan dalam angkatan tentera di seluruh dunia sejak ia mula-mula ditambahkan dalam senarai armada pada 1995.

Tetapi penerbangan tentera jauh lebih mahal untuk dikendalikan daripada penerbangan sewa yang juga digunakan oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) untuk pengusiran.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh ICE pada 2021, kos sewa ialah AS$8,577 setiap jam penerbangan, dengan penerbangan mengangkut migran berisiko tinggi mungkin menelan kos lebih tinggi.

Penggunaan pesawat C-17 dalam operasi pengangkutan dikenakan bayaran AS$28,562 sejam, menurut dokumen yang diterbitkan oleh US Air Mobility Command.

Penerbangan tentera juga mengambil laluan berbeza dengan pesawat komersial, kerana sensitiviti beroperasi di ruang udara negara berdaulat lain.

Mereka juga biasanya mengisi minyak di pangkalan udara tentera dan bukannya hab komersial.

Data dari tapak penjejakan penerbangan, Flightradar24 menunjukkan bahawa penerbangan pengusiran itu berlepas dari Stesen Udara Kor Marin Miramar di San Diego, California, pada Isnin.

Ia kemudian terbang ke Hawaii, menyeberangi Pasifik ke Selat Luzon berhampiran Filipina, terbang antara Indonesia dan Malaysia, kemudian mengambil lencongan besar ke selatan Lautan Hindi di mana terdapat pangkalan udara AS yang terletak di pulau kecil Diego Garcia.

Dari sana ia terbang beribu-ribu kilometer ke utara India, mendarat di lapangan terbang di negeri barat laut India, Punjab pada petang Rabu (waktu tempatan), lebih 43 jam selepas berlepas dari California.

Mengambil kira perjalanan pulang ke pangkalan udara AS, kos penerbangan mungkin melebihi AS$1 juta walaupun dengan anggaran paling konservatif masa yang dihabiskan di udara, bersamaan dengan lebih daripada AS$10,000 setiap tahanan.

Sebagai perbandingan, tiket sehala dari San Francisco ke New Delhi dengan syarikat penerbangan komersial AS boleh dibeli dengan harga sekitar AS$500, atau AS$4,000 dalam kelas perniagaan.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

19-2-2026 04:40 PM GMT+8 , Processed in 0.058098 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list