TRELER yang terperangkap di sebuah pasar menyebabkan kesesakan lebih tujuh jam. FOTO Agensi
New Delhi: Sebuah treler terperangkap di sebuah pasar yang sesak di Alwar, Rajasthan selepas 'tertipu' dengan penunjuk arah dari aplikasi Google Maps.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk selama tujuh jam di kawasan itu.
India Today melaporkan, beberapa kedai rosak selepas treler berat itu terperangkap, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan kenderaan itu menggunakan kren.
Pemandu treler itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas kekecohan berlaku.
Menurut polis, treler itu dalam perjalanan dari Jaipur ke Dausa apabila pemandunya bergantung kepada Google Maps sebagai petunjuk arah.
Namun, akibat arahan yang salah, kenderaan itu keluar dari lebuh raya negeri dan memasuki kawasan pasar yang sibuk di Tunga.
Lorong sempit dan trafik yang padat menyukarkan treler untuk berpusing, menyebabkan ia tersekat di antara kedai dan kenderaan yang diparkir.
Semasa treler cuba bergerak ke depan, ia merosakkan beberapa kedai dan kenderaan menyebabkan keseluruhan pasar terhenti operasi.
Pemilik kedai dan pengguna jalan raya mengalami kesulitan yang besar, dengan ramai pemilik perniagaan menyuarakan kekecewaan mereka atas kerugian yang ditanggung.
Situasi semakin buruk apabila lebih enam kedai mengalami kerosakan akibat kenderaan itu menyebabkan pemilik kedai menuntut tindakan daripada pihak berkuasa.
Pegawai polis yang tiba di tempat kejadian kemudian memulakan usaha untuk mengeluarkan kenderaan itu.
Menggunakan kren, polis berjaya mengeluarkan treler itu selepas operasi berlangsung selama tujuh jam, situasi akhirnya dapat dikawal, membolehkan pergerakan trafik normal disambung semula.
|