Ahli Parlimen Parti Move Forward (MFP).Chaiyamphawan Munpianjitt. - Foto AGENSI
BANGKOK: Mahkamah Wilayah Chiang Mai, mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang ahli Dewan Perwakilan dari Bangkok berhubung dakwaan merogol seorang pelancong dari Taiwan, kata polis Thailand.
Balai Polis Muang, Chiang Mai, berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Speaker Dewan Perwakilan bagi mendapatkan kebenaran untuk menangkap Chaiyamphawan Munpianjitt, ahli Parlimen dari Parti Move Forward (MFP).
Menurut polis, mangsa yang berasal dari Taiwan telah membuat aduan bahawa ahli Parlimen itu merogolnya pada malam 9 Januari di sebuah hotel di daerah Muang, wilayah Chiang Mai.
Selepas menemu bual saksi dan mengumpul bukti, pasukan penyiasat mendapati kes itu mempunyai asas kukuh dan meminta mahkamah wilayah mengeluarkan waran tangkap, yang diluluskan pada 4 Februari, kata polis.
Ketua MFP Thailand, Watcharapol Butsomkorn, berkata pada 7 Februari bahawa beliau belum berbincang dengan Chaiyamphawan mengenai dakwaan rogol itu, tetapi menegaskan parti akan memberi peluang kepadanya untuk memberi penjelasan.
Watcharapol turut menambah bahawa Chaiyamphawan tidak memaklumkan kepada parti mengenai lawatannya ke Chiang Mai dan berkemungkinan ia adalah urusan peribadi.
Beliau berkata kepimpinan parti akan berbincang mengenai tindakan seterusnya terhadap ahli Parlimen itu selepas siasatan polis selesai.
Pada November 2023, Chaiyamphawan dipecat daripada MFP selepas keputusan sebulat suara oleh kepimpinan parti dan ahli Parlimen berhubung dakwaan gangguan seksual.
Chaiyamphawan, yang digelar Pu-Aut, 35, dituduh mengganggu secara seksual tiga pembantu wanita.
Beliau mewakili Kawasan Pilihan Raya 26 Bangkok, yang merangkumi daerah Jomthong dan subdaerah Tha Kham di daerah Bang Khun Thian. - AGENSI
|