Edited by maklukpenggoda at 27-1-2025 02:55 PM
MUNGKIN ada yang berfikir, terlalu awal untuk Poklip ‘membunuh’ program realiti, One In A Million (OIAM) musim baharu.
Baru minggu keenam, tak baik kalau Poklip sifatkan OIAM sebagai ‘sendu’.
Tetapi Poklip percaya juga, ada pihak yang mengangguk setuju dengan kenyataan itu.
Sudah enam minggu, apa momen yang boleh disifatkan sebagai berjaya memecah ‘kesenduan’ program realiti tempatan?
Drama tak habis-habis? Mungkin itu adalah modus operandi untuk menjual nama peserta tetapi di tahun 2025 ini, kisah sedih mungkin bukan cara paling cepat untuk popular.
Kalau hendak tengok drama sedih, susah payah, di TikTok berlambak.
Lawan sebenar OIAM bukanlah Gegar Vaganza GV) atau program realiti lain, tetapi media sosial.
Bagaimana mahu memastikan kehebatan peserta, sama tinggi dengan penerimaan warganet.
Memang mereka berbakat (tetapi maaf cakap, ada yang biasa-biasa sahaja), tetapi kebanyakan mereka sudah pernah mencuba memperjuangkan kemampuan di pentas program realiti berbeza.
Ada yang sampai ke pentas akhir namun masih gagal menembusi industri muzik.
Sebab itu, kali ini bukan soal bakat sahaja yang jadi pertaruhan tetapi strategi, identiti dan rezeki juga menjadi kunci kejayaan.
Sudah lima minggu, Poklip sendiri tidak mengenali peserta OlAM
Kecuali yang tular di media sosial.
Tular bukan sebab kehebatan persembahan, tetapi kemarahan warganet apabila rupa diutamakan berbanding bakat.
Itu pun satu hal. Usah tipu diri sendiri. Memang rata-rata kita melihat rupa dahulu berbanding bakat.
Jika tidak, masakan penyanyi hebat seperti Aina Abdul, Nadeera Zaini malah Umairah berdepan kritikan kerana rupa.
Cuma untuk mengharapkan rezeki dan peluang sama untuk peserta OlAM ke hadapan seperti nama-nama yang disebutkan itu, memang sukar untuk dijangka.
Makan masa tetapi perlu ada strateginya. Maka seharusnya OlAM yang dihidupkan semula di era media sosial, memudahkan langkah itu tetapi ternyata ada lubang yang harus ditampal.
Bakat ada tetapi hujung-hujung, tetap sendu juga.
"Bagilah peluang, program baru."- lya benar, tetapi produksi bukan baru.
Sudah berpuluh tahun menghasilkan pelbagai program hiburan.
Takkan masih mahu jual drama sedih yang bertahan panasnya seminggu, dua?
Sebab itu, ramai yang sudah bising, tiada peserta pun yang setakat ini dilihat layak menerima hadiah bernilai RM 1 juta.
Memang kalau sudah rezeki, Alhamdulillah tetapi adakah cukup layak bergelar satu dalam sejuta?
Bukan mahu cakap peserta dahulu semuanya hebat-hebat dan berjaya. Tetapi 'kegagalan' beberapa peserta tiga musim program itu harus dijadikan iktibar.
Walaupun dengan kejayaan 8.5 juta penonton di episod lima dan 18.8 juta penonton keseluruhan, adakah nama peserta OIAM sudah meniti di bibir peminat muzik tempatan?
Berjayakah OIAM kali ini? Tanya diri sendiri.
-Utusan
|