Penerbit dan pengarah terkemuka tanah air, Shahrulezad Mohammedin,51, mengakui kini sedang mendidik diri supaya tidak lagi terlalu lantang mengeluarkan pandangan berhubung sesuatu isu di media sosial.
Menurut Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat, tindakan itu dilakukannya secara perlahan-lahan selain menyedari tidak semua pandangan peribadi harus dikongsikan kepada umum.
“Saya sedang didik diri supaya tidak terlalu menganggap bahawa semua benda yang lintas di ‘timeline’ media sosial wajib untuk saya bagi pendapat. Ya, suatu ketika dahulu saya rajin bagi pendapat.
“Rajin tulis panjang-panjang dan semua isu saya nak ulas. Tetapi zaman itu mungkin dah berlalu. Sekarang ini saya seboleh mungkin tak nak cakap atau luahkan pendapat peribadi.
“Status jadi tular sudah tidak mengujakan saya. Rasanya, makin banyak saya bercakap, makin terserlah kedangkalan diri. Kalau saya nak cakap sesuatu pun sekarang, saya cakap dengan kawan-kawan di Whatsapp group tertentu saja yang sependapat dengan saya,”katanya.
Shahrulezad berkata demikian dalam satu perkongsian yang dimuat naik dk Facebook hari ini.
Jelas pengarah drama Takdir Yang Tertulis dan Cina Buta ini, pendapatnya dirasakan tidak sesuai buat semua pihak disebabkan perbezaan taraf dan sosial masing-masing.
“Disebabkan itu, saya tak nak menambah kebencian orang dengan menjadi seseorang yang terlalu vokal. Mungkin sesekali saya akan bersuara jika ia isu penting, contohnya isu Palestin.
“Sesekali saya akan kongsikan aktiviti kerja contohnya projek drama Khunsa. Saya rasa kena beritahu juga serba sedikit perjalanan kerjaya bagi mereka yang minat nak tahu.
“Pasal gosip-gosip rumah tangga atau peribadi rakan lain, saya tak suka nak cakap secara terbuka. Saya cuba untuk tidak masuk campur urusan peribadi mereka. Kalau ada yang rasa ini masanya untuk ‘unfollow’, saya tak kecil hati,”katanya.
Dalam pada itu, tambah Shahrulezad, dia juga sedar usia yang bakal menginjak ke angka 52 menjadikan dirinya berusaha untuk tidak memikirkan keseronokkan dunia semata.
“Hiruk pikuk dunia dah tak jadi satu keseronokkan untuk saya turut serta. Umur begini sebenarnya dah patut fikir pasal mati dan apa bekalan serta peninggalan kebaikkan yang patut saya tinggalkan.
“Bukan dosa yang berpunca dari berkata yang bukan bukan dan yang mungkin mempengaruhi kalian.
“Saya mohon semua jangan lihat saya sebagai seorang idola atau apa. Anggap saja saya rakan, abang atau pakcik anda dan doakan supaya Allah kurniakan ilham dan idea yg baik baik saja untuk semua, idea yang Allah reda.
“Idea yang membawa kebaikan untuk semua menerusi drama Khunsa terbitan saya kelak,”katanya.
Sumber: Utusan
|