|
Gambar hiasan.
KETIKA keadaan ekonomi tidak begitu baik, semua pihak menjadi lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan agar tidak menyesal di kemudian hari.
Begitu juga seorang anak muda ini yang memilih untuk mengambil gambar berukuran pasport sendiri di rumah berbanding di studio mahupun kedai fotografi.
Namun ternyata pemikiran pemuda dikenali sebagai Wazif Nazmi itu lebih ke depan apabila dia kemudiannya mendapatkan pertolongan warga maya untuk membantu menukar warna latar belakang fotonya yang dirakam di dalam bilik di atas katil.
Perkongsian yang dibuat seorang pelayar Facebook.
Mana tidaknya, kos untuk mengambil dan menghasilkan gambar seperti itu bernilai belasan ringgit bagi empat keping.
Jumlah yang ingin digunakan pula hanya sekeping dan selebihnya kadang kala hilang mahupun rosak selepas disimpan lama.
"Nak pergi kedai mahal, jadi tolong edit jadi belakang tu blue screen," pintanya di grup Edit Apa Hari Ni?
Seperti biasa, warga maya yang baik hati tampil membantunya dengan menghasilkan gambar seperti yang diingini.
Bukan itu sahaja, mereka turut mendoakan agar urusan remaja ini dipermudahkan kerana menganggap gambar yang disunting itu untuk tujuan rasmi kerana memerlukan latar belakang biru.
"Kadang kala dengan sedikit bantuan boleh mengubah masa depan orang lain. Terima kasih rakyat Malaysia yang memang baik hati... semoga urusan adik ini dipermudahkan.
"Kreatif yang tolong edit percuma untuk adik... murah hati betul rakyat Malaysia.
"Baik betul netizen dengan awak dik, apalah rahsianya... mungkin muka innocent sangat.
"Tahniah kepada yang edit gambar bro ni, semoga dia boleh gunakan untuk urusan rasmi," ujar beberapa warga maya.
Mana tidaknya, platform yang diwujudkan itu sering kali tular dalam membantu warga maya yang inginkan 'kenangan' menerusi gambar.
Menyusuri ruangan komen, bukan sahaja warna latar belakang ditukarkan seperti yang diingini malah kemeja yang dipakainya turut 'digosok' bagi menjadikannya lebih kemas dan menarik.
Bahkan ada yang membantu menghasilkan gambarnya menjadi lebih formal dengan mengenakan blazer.
Pun begitu, terdapat juga warga maya yang menyamakan wajah remaja ini dengan Putera Mateen iaitu anakanda kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
"Ada iras-iras anak Sultan Brunei, daripada pandangan aku saja.
"Terus jadi Putera Brunei yang tertukar.
"Tak nak edit tapi nak bagitahu ada rupa anak Sultan Brunei... Putera Mateen," ujar beberapa lagi.
Malah terdapat beberapa gambar mencuit hati yang turut dihasilkan warga maya sehingga perkongsiannya itu menerima lebih 3,700 komen pelayar.
|
|