|
Pasangan mak nyah dan pengkid akhirnya dah selamat bernikah!
Adam, 40, dan pasangannya Nurazearah Fateha, 22, selamat diijabkabulkan pada Sabtu, 15 Julai dalam majlis penuh istimewa di Ulu Remis di Kluang, Johor.
Adam atau mesra dikenali sebagai Danny berkata dia dan Nurazearah sah bergelar suami isteri dengan lima kali lafaz gara-gara gementar.
Danny menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin emas kepada Nurazearah atau Yan namun wang hantaran dirahsiakan.
Foto: mStar
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah di rumah pengantin perempuan terletak di Kampung Layang Layang.
Bercerita tentang hari bahagianya itu, Danny berkata pada majlis itu dia turut memberikan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
“Sepatutnya segala urusan dilakukan sekurang-kurangnya tiga bulan. Tapi saya dan Yan baru je kenal lima hari terus nak kahwin, jadi masa memang singkat.
“Tapi saya bersyukur setelah lebih kurang sebulan setengah berkenalan dan melakukan persiapan, kami berdua akhirnya disatukan juga.
"Saya dan Yan sangat lega dengan ketentuan Allah ini apabila majlis perkahwinan berlangsung dengan baik,”katany kepada mStar.
Foto: mStar
Ujar Danny lagi, gara-gara terlalu terburu-buru mengumumkan di media sosial untuk berkahwin, dia dan isteri terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dan halangan.
Antaranya ialah tohmahan yang mendakwa rancangan perkahwinan antara dia sebagai bekas mak nyah dan Yan seorang pengkid ini hanyalah sekadar content media sosial semata-mata.
“Kedua-dua belah keluarga sebelum ini memang terkejut besar apabila kami beritahu nak berkahwin.
“Walaupun pada mulanya saya sendiri tak pasti, tapi semua itu rahsia Allah. Siapa sangka selama ni memang saya tak ada niat nak kahwin tapi Allah jentik hati supaya memiliki kehidupan lebih sempurna dengan alam berumah tangga.
“Bagi kami berdua sebenarnya keputusan untuk disatukan ini sudah cukup menunjukkan cinta sejati kami yang sebenar dan bukan sekadar content,” katanya.
Foto: mStar
Bercerita lanjut tentang fasa baharu dalam hidupnya, Danny berkata dia dan isteri masing-masing masih sedang membiasakan diri.
Cerita Danny, dia bersyukur apabila kini dia boleh solat berjemaah bersama-sama dengan Yan setelah sah bergelar isteri.
Mengulas lanjut mengenai nafsunya sebelum ini yang lebih cenderung meminati lelaki, anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu berharap perkahwinannya menjadi bukti mengenai keinginannya untuk berubah menjadi lebih baik.
“Kami menginginkan satu kehidupan normal sebagai suami isteri. Saya kini menjadi seorang yang lebih kepada lelaki dan Yan pun sama... banyak berubah menjadi lebih wanita.
"Jadi saya tak faham juga macam mana boleh timbulnya tuduhan mengatakan saya cuba buat publisiti murahan sedangkan saya bukan berniaga online yang kena buat marketing. Saya kongsikan kehidupan saja.
“Sejujurnya memang rasa malu untuk tidur bersama sebab ini pertama kali tidur dengan wanita yang saya cintai. Tapi saya rasa selesa dengan Yan... orang yang berkahwin akan fahamlah,” ujar Danny lagi.
Ketika ditanya mengenai rancangan untuk berbulan madunya, Danny dan Yan memilih Pulau Perhentian di Terengganu sebagai destinasi bercuti pada 18 Julai nanti.
Selain itu kata Danny dia akan berusaha lebih keras lagi untuk bekerja memandangkan komitmen kehidupannya kini sudah bertambah setelah berkahwin.
Sebagaimana impian pasangan lain, dia juga merancang untuk memiliki cahaya mata kelak bersama Yan.
“Setiap pasangan mengimpikan cahaya mata setelah berkahwin. Itulah tanda cinta mereka setelah berumah tangga. Setakat ini kami masih merancang.
“Cuma rezeki tu bergantung pada masa. Orang kata... kalau Allah nak ‘bagi’ awal, maka awallah kami dapat menimang cahaya mata. Kalau lambat pun saya terima saja, tak kisah.
“Memang kami nak anak bersama dan setakat ini perancangan kami ingin memiliki seorang cahaya mata saja memandangkan ekonomi merosot sekarang. Tapi kita tak tahu kan seandainya Allah nak bagi rezeki lebih kami terima,” ujarnya. -CARI
Sumber: mStar |
|