Jahangir Khan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuai ketika melakukan pembedahan bariatrik terhadap Allahyarham isterinya, Rohana Jalil yang didakwa menjadi penyebab kematian penyanyi itu.
Jahangir, 66, bagaimanapun berkata, terdapat beberapa perkara perlu diteliti terlebih dahulu sebelum pihaknya mengambil sebarang tindakan bagi menuntut keadilan.
Suami Rohana Jalil Cadang Ambil Tindakan Terhadap Pihak Cuai Ketika Pembedahan Bariatrik
"Kalau ikutkan hati memang nak ambil tindakan tetapi buat masa sekarang ini masih belum tahu lagi sebab perlu berbincang dari banyak sudut.
"Kami pun perlu mencari individu yang pakar dalam bidang berkenaan. Kita ikut langkah demi langkah," katanya kepada mStar.
Jahangir berkongsi mengenai perkara itu selepas pengebumian Rohana di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya pada Rabu.
Rohana menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.33 malam Selasa akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.
Dalam temu bual bersama mStar sebelum ini, pengurus kepada Rohana dikenali sebagai Jepun mendakwa antara punca penyanyi itu mengalami ujian berat itu adalah disebabkan pembedahan bariatrik yang dilakukan dua tahun lalu di hospital berlainan bagi merawat masalah gastrik.
Tambah Jahangir meskipun sedikit kesal dengan apa yang berlaku, namun dia menganggap pemergian isteri tercinta adalah satu ketentuan Allah.
"Nak rasa ralat pun dah tak guna. Perkara sudah terjadi. Ini adalah takdir dari Allah," ujarnya.
Jenazah Rohana selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya.
Mengimbau kenangan bersama Rohana, Jahangir menyifatkan Allahyarham sebagai seorang isteri yang baik dan jarang berlaku pergaduhan besar sepanjang 40 tahun mereka hidup bersama.
"Saya bagaikan masih boleh dengar suara dan gelak tawanya. Lebih 40 tahun hidup bersama, jarang berlaku masalah besar. Kami hidup bahagia dan dia adalah seorang isteri yang baik.
"Terlalu banyak kenangan manis bersama arwah untuk saya ceritakan," kongsinya.
Sumber: mStar |