Usahawan, pelakon dan penyanyi, Iqbal Zulkefli tampil memohon maaf selepas menerima kecaman netizen gara-gara memaparkan dirinya memakai telekung dan baju dalam wanita yang dimuatnaik di media sosial baru-baru ini.
Katanya, dia tidak menyangka tindakannya itu mendapat kecaman warganet biarpun niat asal hanya ingin bergurau.
Sumber Oh My Media
"Waktu keluarga saya rakam, saya langsung tidak bertujuan untuk muat naik ke media sosial. Gurauan itu adalah diri saya yang sebenar ketika bersama keluarga.
"Sejak dulu, orang sekeliling tidak kering gusi gelak jika saya ada.
"Apabila membaca lebih 400 komen di TikTok, 100 peratus netizen terhibur, berbeza di Instagram, semakin banyak kecamannya," katanya menerusi hantaran di IG Story.
Jelasnya lagi, dia sama sekali tidak berniat untuk menghina golongan wanita atau mahu menyerupai wanita.
Dia hanya sekadar ingin orang tahu bahawa dia bukanlah seorang individu yang sepanjang masa serius hingga membuatkan ada yang segan untuk mendekatinya.
"Malah, saya fikir banyak filem drama dan artis lain berjenaka sebegitu.
"Jauh sekali menghina. Tidak pun saya terfikir untuk menyerupai wanita. Apapun, saya minta maaf, tetap saya perlu hormati.
"Tetap memilih untuk padam video tersebut. Sebolehnya, saya mahu tonjolkan sisi nakal dan lucu sebab penat jadi serius setiap waktu," katanya.
Terdahulu, Iqbal berkongsi sepotong video dirinya memakai telekung dan baju dalam merah sambil berseloroh dengan anak angkatnya, Ziyad kononnya ingin menjadi ibu susuan.
Sumber: GEMPAK, IG AHMAD IQBAL ZULKEFLI
|