"Sempena Ramadan ini dan tidak lama lagi nak berhari raya pula, saya harap semuanya selesai dengan baik. Saya dan isteri akan terus menjalin hubungan silaturahim yang rapat dengan besan kami, keluarga Puteri Sarah seperti selalu.
"Kami akan terus menjaga hubungan baik ini, saling bertanya khabar dan berkunjung ke rumah masing-masing untuk berhari raya bagi menggembirakan cucu-cucu kami yang dikasihi, Syaikul Islam dan Sumayyah," katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga kehadirannya di mahkamah esok, Yusof berkata beliau tidak akan hadir. Jelasnya, cukup hanya titipan doa semoga semua baik-baik saja sama ada mereka terus bersama atau sebaliknya.
Pada Khamis lalu, Syamsul ditemui media ketika hadir pada sebutan pertama kes nusyuz yang difailkannya terhadap isteri pertama, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 21 Mac lalu.
Syamsul juga memaklumkan, dia reda dengan apa saja keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung kes permohonan cerai itu yang dijadualkan dibaca di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, jam 9 pagi esok.
Terdahulu, pada 24 Mac lalu, proses JKP yang berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membabitkan Syamsul dan Puteri Sarah difahamkan gagal menemui jalan penyelesaian.
Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Sumber: HARIAN METRO