"Saya pergi ke Nepal bersama seorang anak lelaki untuk berjumpa Marina. Hukuman yang perlu dijalani Marina masih panjang, saya pula kini mencecah 72 tahun dan tidak pasti adakah peluang bertemunya lagi selepas ini," katanya.
Marina ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) Nepal, pada 2015 selepas didapati cuba menyeludup kokain seberat 11 kilogram.
Dia ditahan kira-kira jam 7 malam ketika dalam perjalanan ke Itali melalui Kathmandu, Nepal, dengan menyembunyikan dadah dalam lima komputer riba.
Bekalan dadah itu dipercayai diambil di Brazil untuk diseludup ke Itali dengan menggunakan laluan Nepal.
Sambil mengesat air mata, Jamaluddin berkata, ketika berjumpa anaknya di penjara itu, kehidupan marina sangat susah kerana dia satu-satunya banduan dari Malaysia.
"Saya dimaklumkan makanan disediakan di penjara itu tidak halal dan Marina terpaksa berlapar jika tiada makanan. Setiap bulan saya menghantar wang dan makanan seperti mi segera serta biskut ke kedutaan kita di Nepal untuk diserahkan kepada Marina.
"Baru-baru ini dia dimasukkan ke hospital, namun terpaksa menanggung kos perubatan dan tidak dibenarkan keluar selagi tidak melunaskannya.
"Marina juga sudah pandai bertutur bahasa Nepal kerana dia satu-satunya warga Malaysia di penjara itu," katanya.
Jamaluddin berkata, dia berharap mana-mana pihak dapat campur tangan dan memohon kerajaan Nepal memendekkan hukuman penjara anaknya itu.
"Marina sudah menjalani hukuman penjara selama lapan tahun dan baki hukuman masih panjang. Saya sangat berharap kerajaan atau mana-mana pihak dapat membantu usaha mengurangkan hukuman Marina di sana," katanya.
Sumber: BH ONLINE