|
Aman Aziz, 29, mahu puas mengikut 'trend' semasa dalam berfesyen pada usianya yang dianggap masih muda, wajah pun belum berkedut dan bertubuh kurus.
Aman atau nama sebenarnya Mohammad Razman Abdul Aziz berkata dia suka mencuba sesuatu fesyen itu apabila tertarik melihat gaya penampilan orang lain yang didapatinya amat menarik.
"Kalau nak kata penampilan imej saya sekarang lebih ke arah K-Pop, sebenarnya tidak pun. Saya bukan 'oppa'.
Foto: IG
Cuma, fesyen saya lebih kepada mengikut 'trend' semasa. Apabila melihat seseorang itu berpakaian cantik dan kena dengan gaya, kenapa saya tak cuba pula?
"Sebabnya, saya pun nak cuba pakai juga apa saja fesyen pada usia yang masih muda ini. Bagi saya, inilah masanya pun sementara muda lagi, kena bergaya. Nanti dah tua, nak pakai benda yang pelik-pelik mesti rasa malu.
"Nanti, ada pula orang kata, dah tua ganyut pun masih pakai macam itu (fesyen). Saya tak naklah ada ruang orang cakap begitu, seolah-olah macam saya tak puas berfesyen ketika usia muda," katanya kepada Harian Metro.
Penyanyi lagu Sulit ini berkata, lagi pula sekarang dia masih kurus dan pastinya sesuai dengan apa saja saiz pakaian nak dipakai. Katanya, yang penting asalkan pakaian itu bersesuaian, selesa dan orang boleh terima.
Aman yang masih bujang berkata, dia juga belum terfikir soal kahwin kerana fokusnya terhadap karier dulu. Ujarnya, dia perlu pastikan karier betul-betul sudah stabil dan baharu boleh fikir fasa berumah tangga.
Mengenai perkembangan karier seni, Aman berkata dia kini muncul dengan single baharu, Satu Hari Saat Hujan yang ditulis berdasarkan kisah 'cinta monyet' yang pernah dilaluinya dulu.
Selain nyanyian, Aman juga tampil membintangi drama Cina Buta arahan Shahrulezad Mohameddin sebagai watak Umar bergandingan bersama Puteri Aisyah. Drama 18 episod itu kini disiarkan slot Mega Drama di Astro Ria, jam 10 malam.
Mengulas mengenai wataknya, Aman berkata karakter Umar itu agak mencabar kerana lelaki yang sudah berkahwin dan bercakap kasar dengan isterinya. Jelasnya, ia pada awalnya tidak mudah juga untuk dilakonkan, tapi dia berusaha mencuba.
"Apapun, saya harap lakonan dapat diterima baik kerana saya masih lagi perlu banyak belajar. Saya perlukan masa menjadi pelakon yang bagus kerana tawaran lakonan pun saya terima mana yang dirasa sesuai.
"Keutamaan saya pada nyanyian. Jadi, dalam setahun saya berlakon hanya untuk dua atau tiga karya saja. Itu pun, melihat juga pada kelapangan masa saya dan jadual menyanyi tidak terlaku sibuk," katanya.-CARI
Sumber: Harian Metro
|
|