|
Amy Nur Tinie, 26, menitikberatkan restu ibunya Amy Sally, 54, apabila menyentuh perihal jodoh dan percaya pilihan ibunya lebih baik.
Disebabkan itu, Amy Nur Tinie atau mesra disapa Tinie tidak kisah apabila ibunya kerap menolak lelaki yang cuba mendekatinya kerana tidak menepati kriteria diingini.
Foto: IG
"Kalau ikutkan, saya suka lelaki yang bertanggungjawab dan kalau berada itu bonus. Ibu saya pula sangat pentingkan ciri lelaki yang tinggi rasa hormatnya.
"Setakat ini, ramai juga yang dia tolak dan saya percaya pada keputusannya. Ini kerana saya tahu dia lebih tahu siapa calon yang terbaik buat diri saya.
"Membesarkan saya sebagai ibu tunggal, hormat dan patuh terhadap ibu memang tinggi. Saya sentiasa percaya syurga itu di bawah tapak kaki ibu," katanya.
Tinie turut mengakui kini memang rapat berkawan dengan pelakon Atiq Azman. Menurutnya, pelakon itu pun sangat disenangi serta rapat dengan ibunya juga.
"Ya kami memang rapat kerana saya pun ada bantu dia dalam perniagaan kosmetiknya. Saya ada ilmu berniaga manakala dia masih baharu, jadi saya tolong apa yang boleh.
"Ibu saya pun memang rapat dengannya. Bagi saya, dia seorang yang sangat kelakar dan sentiasa menghiburkan dengan karakter gila-gilanya.
"Saya tidak menolak kalau jodoh saya dengan pelakon atau siapa-siapalah dari profesion lain," katanya.
Tinie ditemui pada sidang media dan pelancaran supertelefilem Bangkitkan Aku Kembali di Laman NMR, Taman Setiawangsa, baru-baru ini.
Dia menggalas watak utama sebagai Suri dalam naskhah adaptasi novel tulisan Sophilea itu. Penggambaran dijangka bermula tidak lama lagi dan ia bakal ditayangkan di saluran Astro First tahun ini.-CARI
Sumber: Harian Metro
|
|