|
Gee lari tinggalkan pertandingan Miss Malaysia
- Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB
- 25 Julai 2021, 12:15 pm
“Eh, nak interview pasal apa ini? Kak Gee bukannya glamour macam artis- artis lain di luar tu. Kak Gee ini dah senja, tak ada apa cerita yang menarik pun. “ Itu antara mukadimah wanita ini sebaik sahaja saya berjaya menghubunginya.
Lantas saya menerangkan serba sedikit tentang konsep kolum yang saya tulis ini. Lama dia terdiam seolah memikirkan sesuatu. Ada kalanya ketika saya petah menyusun ayat, dia memintas bertanya soalan yang mungkin secara tiba-tiba terbit di kotak fikirannya. Mungkin untuk lebih memahami.
“Okeylah, kalau macam itu. Tapi jangan tanya soalan yang susah-susah untuk akak jawab ye. Tanya yang mudah-mudah je,” ujarnya menyatakan persetujuan.
Dari situasi rumit, akhirnya wanita yang lebih mesra disapa Kak Gee ini mula petah berbicara. Saya sudah kurang bertanya, malah menulis apa sahaja yang diperkatakannya. Bersama Khabar Legenda, pelakon versatil, Rashidah Jaafar, 58 berkongsi cerita bersama pembaca tentang kehidupan dan kerjaya seninya hari ini.
“Sebaik tamat sekolah pada 1978, saya berhijrah ke Kuala Lumpur, Pada mulanya saya hanya membantu menjaga anak-anak saudara di sana, namun lama kelamaan saya mula ingin berdikari dan berjaya dapat kerja sebagai pembantu jualan di sebuah gedung pakaian di Bukit Bintang.
“Ketika itulah saya mula berjinak-jinak dalam bidang peragaan apabila sering ditawarkan menjalani sesi pengambaran fesyen di tempat kerja. Rezeki ketika itu cukup murah, memang banyak job saya dapat sehingga tak menang tangan. Mungkin ketika itu tidak ramai gadis Melayu berminat untuk jadi model agaknya,” katanya tertawa.
Tidak pernah bermimpi untuk dikenali, dia menganggap rezeki yang hadir merupakan tuah yang datang bergolek. Langkahnya terus diatur dari lensa amatur sehinggalah ke tahap profesional. Semuanya dilakukan demi memahat kerjaya yang sudah terbentang di hadapan mata.
Awalnya dia cuba mencari jawapan, menjadi tanda tanya bila memikirkan mengapa dirinya menjadi pilihan sedangkan dia bukanlah insan berbakat, malah sama sekali tidak pernah mendapat sebarang didikan dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman.
“Setiap hari muka saya sering terpampang dalam akhbar dan majalah, terutamanya Utusan Malaysia. Dari kolum kesihatan, iklan, fesyen semua saya tapau. Bila dah famous mulalah banyak syarikat cari saya untuk promosikan produk dan jenama keluaran mereka.
“Antara jenama dan produk hebat yang pernah gunakan khidmat saya sebagai model ketika itu termasuklah Levis, Madrid, Dutch Lady, Nina dan Green Sport. Ini antara nama besar yang saya ingat, selebihnya banyak lagi sehinggakan saya tak boleh ingat semuanya.
“Memang hati tertanya-tanya kenapalah mereka ini beria-ia nak ambil saya sebagai model sedangkan saya ni bukanlah cantik mana pun, sudahlah datang dari kampung, kulit pun hitam dan gelap. Sampai hari ini saya tiada jawapannya,” katanya tertawa.
Setelah dikenali dan nama menjadi sebutan, dirinya mula menjadi rebutan sehinggakan ada wakil-wakil syarikat yang sanggup pergi ke kampung halamannya di Johor Bahru semata-mata untuk bertemu dan berbincang dengannya.
Bukan setakat itu, malah dikhabarkan ada beberapa wakil pihak syarikat yang mengutus surat dan mencarinya sehingga tiga ke enam bulan semata-mata inginkan khidmatnya bekerja bersama mereka.
“Zaman itu memang susah kalau nak hubungi. Tidak ada telefon bimbit macam sekarang. Jadi setiap urusan memang melalui surat dan kalau nak cepat terpaksalah cari sampai ke rumah,” katanya.
Anak-anak sumber kekuatan
Atas populariti yang diterima, anak ke tujuh daripada 11 beradik ini mengorak langkah setapak lagi apabila terpilih sebagai Finalis Miss Malaysia pada 1982. Menganggap kemuncak kepada kerjaya ketika itu, dia tidak teragak-agak menerimanya, malah menganggap tawaran tersebut sebagai penghormatan buat dirinya.
“Pada mulanya nampak baik-baik sahaja, tetapi akhirnya saya lari dan tinggalkan pertandingan kerana tidak sanggup penuhi syarat pertandingan yang minta saya pakai baju renang (bikini). “Saya malu dan tidak akan buat perkara itu. Maklumlah, kita masih anak dara, malah tak mungkin keluarga akan merestuinya.
“Selepas itu saya dapat tawaran berlakon pula. Memang saya gembira kerana tidak pernah terfikir untuk pergi sejauh ini. Filem Aku yang Berhormat pada 1983 adalah filem pertama lakonan saya bersama Dharma Harun dan Rosnah Mohd. Noor,” katanya.
Siapa sangka setelah terjebak dalam dunia lakonan, rezekinya terus melimpah ruah. Dia boleh diibaratkan sebagai bintang baharu yang cukup laris dan menjadi perhatian setiap penerbit dan pengarah filem dan drama ketika itu.
Akui bidang lakonan lebih memberikan ketenangan dalam kamus hidupnya, dia lantas mencetak nama membahagikan masa antara kerjaya baharu dan bidang peragaan yang pernah menjulang bakatnya. Dia merasakan itu adalah zaman kemuncak untuknya menggilap nama.
“Bila sudah dikenali, saya diberi peluang pula untuk menyanyi di karnival dan ekspo menghiburkan penonton. Seterusnya ditawarkan untuk rakam album kompilasi pada 1984 bersama artis terkenal tanah air ketika itu, tetapi saya tidak dapat habiskan recording kerana sibuk dengan komitmen lain.
Di waktu nama berada di puncak kemahsyuran, dia akhirnya menamatkan zaman bujang dengan Allahyarham Nasir P.Ramlee yang merupakan anak Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Namun jodoh mereka tidak panjang. Tidak pernah menyesali dengan apa yang berlaku, dia menganggap semuanya adalah suratan takdir yang sudah tertulis. Kembali bangkit sebagai wanita cekal, dia terus berdikari membesarkan anak-anak yang berada dalam jagaannya ketika itu.
“Pada 1989, saya mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama komposer terkenal, Allahyarham A.Ali. Perkahwinan kami dikurniakan tiga cahaya mata, namun sekali lagi badai melanda dan jodoh kami tidak kekal lama sehingga berlaku perceraian. Kehidupan saya cukup diuji ketika itu, tambah pula terpaksa membesarkan anak-anak seramai lima orang.
“Ketika itu sayalah yang menjadi ibu serta ayah buat anak-anak. Saya urus dan besarkan mereka dengan penuh kasih sayang. Otak ini fikir macam-macam cara untuk besarkan mereka. Bukan senang, tambah pula bila kita tiada sesiapa di sisi. Tapi, Alhamdullillah Allah SWT mudahkan urusan saya,” terangnya.
Menjengah kehidupan terkininya, dia akui sejak berlakunya pandemik Covid-19, kerjaya lakonannya sedikit terbatas. Untuk menongkah kehidupan, dia kini mula berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan bersama anak-anaknya untuk menampung kehidupan. Dengan bakat yang ada dia mula menjual serta mempromosikan pelbagai menu tradisional seperti soto, mee bandung dan mee rebus.
“Sekarang ini saya hanya buat dalam kuantiti terhad dan letak di gerai-gerai berdekatan rumah sahaja. Namun saya sedia mengambil tempahan jika ada memesan dalam kuantiti yang berbaloi. Insya-Allah selepas Hari Raya Aidiladha saya akan buka perniagaan di kawasan Kinrara, Puchong bersama anak. Mungkin nanti saya boleh promosikan menu-menu istimewa dengan lebih meluas lagi,” katanya menutup perbualan.
Sumber: Utusan |
|