Adam bersama ibunya Cikgu Norani yang tular di media sosial. ― Foto ihsan Twitter/bukan_dam
Projek MM
Jamilah Kamarudin
KUALA LUMPUR, 27 Jan ― Ketegasan seorang guru lapor diri pada hari pertama persekolahan melalui rakaman video tular sejak beberapa hari lalu menyebabkan ramai warga maya kecut perut.
Memperkenalkan nama sebagai Cikgu Noraini, wanita pertengahan itu berkata dirinya bertugas sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan memberi amaran akan mengenakan tindakan terhadap pelajarnya yang tidak buat kerja sekolah.
“Assalamualaikum. Saya Cikgu Noraini mengajar Bahasa Melayu.
“Tak buat kerja saya repih (patahkan) tekak (sampai) patah, faham belaka?” katanya dalam loghat Kelantan.
Tular di media sosial, seorang pemuda tampil menjelaskan wanita itu adalah ibunya dan video itu asalnya dibuat suka-suka dan dihantar dalam WhatsApp kumpulan sekolah ibunya sebelum disebar oleh individu tidak bertanggungjawab.
Katanya, walaupun sifat ibunya garang, namun katanya wanita itu seorang yang hebat dan individu yang mendorong dirinya berjaya hingga melanjutkan pelajaran peringkat ijazah.
Penjelasan Adam itu dikongsi lebih 2,600 pengguna Twitter, rata-ratanya memahami dan menghargai sifat guru yang garang untuk mendidik pelajar hingga berjaya.
“Kita perlukan guru sebegini, sebab bukan senang nak disiplinkan budak-budak,” catat Humaizie Rahman.
“Dalam garang tu dapat rasa sifat penyayang cikgu tu. Mesti dalam kelas cikgu tu best. Cool je hantar video macam tu,” catat Sulaimi Ajit. |