Gambar hiasan. Kredit foto: Facebook
PKR menganggap keputusan menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya bermula pada 9 Mac ini menunjukkan kerajaan takut berdepan dengan isu keyakinan ahli-ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Seperti dilaporkan Sinar Harian, Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan dengan jelas cuba mengelakkan isu tersebut.
"Jika mereka yakin, sudah tentu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini akan diteruskan seperti biasa.
"Saya anggap ini hanya memberikan satu kemenangan moral kepada PH (Pakatan Harapan) kerana terbukti Perdana Menteri tidak yakin akan sokongan sehingga terpaksa melewatkan sidang Dewan Rakyat," jelasnya.
Fahmi Fadzil. Kredit foto: Facebook
Penangguhan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 4 Mac.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, PH sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan dan akur dengan penangguhan itu.
"Kami yakin mempunyai majoriti untuk menyatakan ketidakyakinan terhadap Perdana Menteri kini," katanya.
Sementara itu, memetik laporan berasingan oleh Sinar Harian, pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof menyatakan, keputusan kerajaan untuk menunda tarikh permulaan sidang Dewan Rakyat tidak menyalahi peraturan dan Perlembagaan Persekutuan.
Dr Muhammad Fathi Yusof. Kredit foto: Facebook
Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu melihat langkah itu adalah wajar memandangkan kerajaan masih dalam proses menyusun semula Kabinet.
"Tentunya proses ini mengambil masa dan menteri yang baru dilantik pula tentunya memerlukan masa bagi meneliti perjalanan kementerian masing-masing dan menentukan rangka kerja berdasarkan keutamaan semasa serta mengambil tindakan perlu bagi menangani masalah yang mendesak pada masa kini.
"Selepas tindakan (selesai membentuk Kabinet) barulah ia sesuai dibawa ke badan legislatif untuk tujuan akauntabiliti supaya pihak pembangkang sedia mengemukakan soalan berkaitan pelaksanaan pemerintahan kerajaan," jelasnya.
Diharapkan krisis politik yang melanda negara menjadi reda apabila sidang Dewan Rakyat bermula nanti. - CARI |