Edited by EJALTI at 4-12-2019 10:25 AM
Pergi Laos naik Kancil
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/12/523523/pergi-laos-naik-kancil
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 5:27 PM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
[email protected]
AZMAN Ali, 46, yang mengembara menaiki Perodua Kancil bergambar di pintu gerbang sebaik tiba di Vientiane, Laos. FOTO Ihsan Azman.
SUAMI isteri mengembara dari Pulau Pinang hingga Laos hanya menggunakan Perodua Kancil yang berusia 25 tahun.
Berkongsi kisah pengembaraannya, Azman Ali, 46, berkata, idea untuk menjelajah ke negara orang timbul selepas pengalamannya sendiri mengembara ke beberapa negara jiran sebelum ini hanya menaiki motosikal kapcai.
Menurutnya, terdetik di hati apabila mahu berkongsi kegembiraan melihat kawasan menarik bersama isteri tersayang Nurul Ramli, 38..
“Saya dan isteri kemudian membuat keputusan untuk menaiki Perodua Kancil dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang menuju ke Laos dengan meredah perjalanan lebih 5,000 kilometer sejak 1 Disember lalu.
“Kesempatan ini juga saya mahu buktikan kereta buatan Malaysia yang menggunakan kapasiti enjin kecil juga boleh meredah perjalanan jarak jauh tanpa sebarang masalah,” katanya yang berada Vientiane, Laos ketika dihubungi Harian Metro.
Menceritakan kisah sepanjang perjalanannya, Azman berkata, dia dan isteri memilih untuk memasak ketika berhenti berehat kerana ia lebih mudah dan menjimatkan tanpa runsing mencari kedai halal di luar negara.
Katanya, perjalanan menuju ke Laos yang merentasi Thailand agak mencabar kerana permukaan bumi yang berbukit selain permukaan jalan yang agak teruk.
“Saya hanya memandu perlahan terutamanya selepas masuk ke sempadan Laos kerana jalan di negara berkenaan berlopak. Lebih mencabar jika pemanduan pada waktu malam.
“Disebabkan saya sendiri sudah beberapa kali ke Laos, jadi tiada masalah untuk mengetahui laluan mana yang perlu digunakan, namun masih menggunakan aplikasi navigasi untuk kepastian,” katanya yang mengambil masa 17 hari untuk sampai ke destinasi.
Azman berkata, dia akan singgah di lokasi tarikan pelancong di sepanjang perjalanannya antaranya air terjun Luang Prabang.
Tambahnya, penduduk tempatan kagum dengan keupayaan Perodua Kancil meredah perjalanan sejauh itu selain tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan kereta berkenaan.
“Saya bercadang untuk menjelajah sehingga sempadan Laos-China yang terletak di Boten sebelum berpatah balik menggunakan laluan di utara Thailand dan masuk semula ke Malaysia menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam di Kedah,” katanya.
|