Mohd. Khairuddin Othman (gambar kecil) menegaskan kerajaan tidak akan membayar pampasan kepada penghuni rumah-rumah yang dirobohkan di Kampung Paya Jaras Hilir. Kredit foto: Facebook & Portal SUK Negeri Selangor
Penghuni rumah-rumah yang dirobohkan untuk projek pelebaran Sungai Kedondong di Kampung Paya Jaras Hilir, Selangor terpaksa berputih mata kerana kerajaan bertegas tidak akan memberi sebarang pampasan kepada mereka.
Memetik laporan Sinar Harian Online pada 1 Oktober, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman menyatakan isu pampasan tidak timbul kerana tanah yang terlibat adalah rizab sungai dan tidak digunakan untuk pembangunan.
"Nak bagi pampasan apa? Itu rizab sungai melainkan itu tanah kerajaan untuk pembangunan, yang ni kita nak buat pembesaran sungai. Ini bukan untuk membuat duit sebaliknya untuk ribuan orang ramai yang selama ini terkesan akibat banjir.
"Fokus utama kita adalah mahu menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah kampung ini. Kalau nak pampasan cari tanah yang mana kerajaan boleh bayar pampasan, itu rizab sungai kita tak bayar apa-apa," katanya.
Beliau turut bersedia untuk berdepan dengan proses perundangan sekiranya penduduk dapat membuktikan mereka memiliki geran bagi tanah yang diduduki.
Azroy Abdul Manaf memberi penjelasan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat Kampung Paya Jaras Hilir baru-baru ini. Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf kesal kerana kerajaan masih berdolak-dalik dan mengelirukan penduduk berhubung isu pembayaran pampasan.
Beliau menyifatkan segala janji yang dibuat sebelum ini adalah palsu dan tidak munasabah malah rumah penduduk yang mempunyai geran tanah dirobohkan begitu sahaja tanpa diberi pampasan.
Tidak dapat dipastikan siapa yang benar atau salah dalam isu ini, namun aspek kebajikan penduduk yang kehilangan tempat tinggal tidak seharusnya diabaikan. - CARI |