Padah tunjuk lagak 'hero' depan kekasih, remaja lelaki 'meletup' dan meninggal dunia di atas sebuah kereta api kargo yang tidak beroperasi selepas terkena renjatan elektrik.
Memetik The Sun, Oleg Khoroshaev, 13, sedang merakam swafoto sebelum terkena renjatan elektrik daripada kabel voltan tinggi (27, 500 volt) di Karasuk, Rusia.
Menurut rakaman video dan saksi, remaja berkenaan dilihat menggeliang-geliut dan menjerit kesakitan selepas terjatuh di sisi pengangkutan berkenaan.
Salah seorang saksi berkata, dia melihat sekumpulan remaja lelaki dan perempuan berjalan di sebelah landasan di bandar Karasuk, wilayah Novosibirsk di mana terdapat sebuah kereta api kargo yang tidak beroperasi.
Katanya, salah seorang rakannya berminat untuk mengikuti mangsa memanjat salah satu gerabak dan bertanya bagaimana perasaannya berdiri di atas kereta api berkenaan.
Sebelum sempat dia memanjat, sebuah letupan kedengaran dari atas gerabak terbabit.
Apabila semua orang di lokasi kejadian melihat ke atas gerabak berkenaan, mereka mendapati terdapat kesan hitam di dada Oleg dan tubuhnya terbakar sebelum mereka bergegas menghampiri mangsa untuk memberi bantuan.
Menurut seorang lagi saksi, keadaan mangsa sangat menyedihkan sampai lelaki dewasa pun tidak dapat menahan air mata melihat keadaannya.
Mangsa terbaring di sisi kereta api dibantu pekerja stesen berkenaan
Oleg dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun Pejabat Pendakwa Pengangkutan Barat Siberia dalam kenyataannya mengesahkan mangsa meninggal dunia tiga hari selepas insiden berkenaan.
Walaupun mengakui mangsa memegang telefon ketika kejadian, seorang rakan mangsa bagaimanapun menafikan Oleg berswafoto di atas kereta api berkenaan.
Kredit foto: EAST2WEST NEWS
Difahamkan, polis mungkin akan membuka kertas siasatan jenayah berhubung kematian berkenaan dan semua rakan mangsa termasuk saksi kejadian disoal siasat.
Polis bagaimanapun percaya remaja itu tidak mengalami sebarang masalah sebelum ini dan mereka telah memberi amaran kepada kanak-kanak dan ibu bapa mereka mengenai bahaya bermain di berhampiran landasan kereta api. - CARI |