Majlis perkahwinan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan, terutamanya pengantin perempuan. Maklumlah saat pengantin diraikan bak Raja Sehari di pelamin indah antara momen abadi. Namun, siapa sangka pengantin perempuan ini terpaksa bertongkat di majlis perkahwinannya dek kerana seekor kucing.
Siti Naqiah bersama suaminya melangsungkan ijab kabul pada 22 September dan majlis resepsi dijadualkan pada awal Oktober. Namun, nasib tidak menyebelahi Naqiah kerana lima hari sebelum majlis, dia terjatuh selepas menyelamatkan kucing kesayangannya dari dilanggar kereta mengakibatkan kakinya mengalami kecederaan distal fisbula fracture.
Bagaimanapun, majlis yang dirancang tetap berjalan lancar walaupun Naqiah terpaksa menggunakan tongkat dan kerusi roda. Ramai netizen terharu dengan kebaikan hati Naqiah serta sikap positifnya walaupun tampil tidak sempurna di majlis persandingannya.
Kredit foto: IG
Lebih menarik, pengantin lelaki, Dr.Amirul Arif pula adalah adik kepada Dr.Halina (isteri angkasawan negara, Sheikh Muszafar Shukor). Menurut Dr.Halina, majlis tersebut berlangsung lancar dengan setiap khalayak dewan memberi sepenuh perhatian kepada pasangan pengantin ini yang masuk ke dewan menggunakan kereta buggy. Kemudian Arif mendukung Naqiah ke pelamin dan akhir sekali Naqiah menggunakan tongkat selepas majlis sanding.
"Nasib baiklah Naqiah quite 'portable', jadi Arif angkat saja dia. Welcome to the family."
Kredit foto: IG
Dengan penampilannya yang sentiasa tersenyum, Naqiah dipuji oleh mereka yang terlibat menatariasnya kerana bersikap profesional.
Malahan, Dato Sri Salmah Ismail sebagai pencinta kucing juga dalam statusnya mengucapkan tahniah kepada Naqiah kerana keberaniannya mempertaruhkan nyawa sendiri untuk menyelamatkan kucing.
Begitu juga dengan netizen yang turut memuji Naqiah kerana wanita ini bukan sahaja cantik malahan juga berhati mulia.
Kredit foto: IG
Hanya mereka yang benar-benar menyayangi kucing sahaja akan bertindak sedemikian walaupun terpaksa bergadai nyawa. Biarpun bertongkat di majlisnya, Naqiah sentiasa tersenyum sepanjang majlis berlangsung. Semoga cepat sembuh! - CARI
|