|
"Saya tidak boleh terima alasannya (Azmi) untuk meminta pengurangan bayaran nafkah anak kami itu kerana tidak mampu."
Tak masuk akal! Itulah yang dikatakan Elly Mazlein apabila bekas suami, Azmi Hatta meminta pengurangan nafkah anak dari RM1,500 kepada RM500 sebulan. Elly dan Azmi menghadiri majlis sulh yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, jam 2.30 petang semalam.
Memetik Harian Metro, Elly mendakwa bayaran nafkah anak sebanyak RM500 yang diminta pengarah drama itu tak cukup untuk menampung kos sara hidup anak mereka.
"Bayangkan bayaran untuk suntikan imunisasi anak saja sudah mencecah RM400 sebulan. Ia belum termasuk kos sara hidup lain seperti bil hospital ketika anak sakit, lampin pakai buang, insurans dan sebagainya.
"Sebenarnya, saya sudah tahu permainannya. Sebab itu saya hanya ketawa ketika majlis sulh selesai, hari ini," ujar Elly.
Foto: Utusan Online
Tambah penyanyi itu, dia percaya Azmi mampu membayar nafkah anak mereka seperti diputuskan mahkamah sebelum ini.
"Justeru, tiada kata sepakat dicapai pada majlis sulh petang tadi dan kes ini akan dibicarakan semula depan hakim pada 8 Ogos nanti," katanya.
Sementara itu, portal Utusan melaporkan alasan utama Azmi meminta pengurangan adalah untuk membiayai kos motosikal berkuasa tingginya.
“Alasan utamanya adalah disebabkan dia terpaksa menanggung kos bayaran motosikal berkuasa tinggi berjumlah RM1,150 sebulan," kata Elly.
Foto: IG Elly Mazlein
Tak penat ke Elly dan Azmi turun naik mahkamah? Semoga mereka cepat-cepat berbaik dan meneruskan kehidupan masing-masing dengan bahagia. - CARI |
|