Edited by NormanJB at 30-3-2017 03:15 PM
Apabila bercakap mengenai alat solek, apa perkara pertama yang terlintas di fikiran anda, golongan wanita bukan? Dan bagi mereka yang mementingkan penjagaan diri, benda asas yang wajib dibawa bersama adalah gincu.
Bagi pengasas produk kecantikan pula, setiap produk yang dikeluarkan pastinya mempunyai kekuatan tersendiri untuk kelihatan berbeza daripada produk yang sudah ada di pasaran, sekaligus mampu menarik pelanggan.
Itu yang dilakukan oleh sebuah syarikat katering dari Singapura, yang memutuskan untuk menghasilkan jenama gincu mereka sendiri dengan memperkenalkan gincu eksklusif beraroma kari! Kedengaran macam menyelerakan, bukan?
Syarikat tersebut, Neo Garden Catering mengeluarkan gincu edisi itu sempena sambutan ulang tahun ke-25 pada tahun ini, khas buat para pelanggan setia mereka.
Menurut kenyataan di laman Facebook, gincu eksklusif itu, yang juga merupakan produk kecantikan sulung yang dikeluarkan mereka dipanggil “Curry Bombshell”, berwarna oren dan dikatakan berbau seperti kari ayam popular mereka.
“Memecah tradisi untuk ulang tahun ke-25 pada tahun ini, kami berasa bangga untuk memperkenalkan kejayaan pertama kami di dalam bidang kosmetik, gincu beraroma kari eksklusif dibuat untuk peminat setia kami sahaja.
“Satu daripada jenis, pelembab gincu berwarna dengan rempah ratus dan kebaikan daripada Signature kari ayam kami,” demikian kenyataan tersebut.
Gincu berperisa kari yang dilancarkan ada 27 Mac lalu turut mengandungi bahan-bahan seperti kelapa, cili, serai serta 100 peratus bahan semula jadi, untuk memastikan bau gincu dan rasa ‘pedas’ adalah sama dengan kari ayam sebenar.
Neo Garden Catering ditubuhkan sejak tahun 1992 dan diberi nama "Neo Garden Restaurant”, yang turut menjalankan perkhidmatan penghantaran ke rumah dan menyediakan khidmat katering untuk acara-acara tertentu.
Malah, sebuah video rasmi sempena pengenalan produk kecantikan tersebut turut dimuat naik di laman Facebook mereka. Mungkin sudah tiba masanya pencinta kari ayam untuk mencuba gincu ini, kerana siapa tahu, mungkin produk kecantikan berperisa kari ini mampu menembus pasaran antarabangsa.
|