Berapa kerapkah anda membelek kamus bahasa Melayu (BM) atau lebih tepat lagi, Kamus Dewan Bahasa? Kalau adapun, pasti jarang-jarang sahaja, bukan?
Menurut Harian Metro, sikap malas membuka kamus BM menjadi punca utama sesetengah perkataan BM terasa janggal digunakan dan seperti berbelit lidah mahu menyebutnya.
Tak salah masyarakat mahu memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris (BI) dengan mempraktikkan penggunaan perkataan BI dalam kehidupan seharian. Namun, apa yang terjadi hari ini adalah penggunaan perkataan BI telah menenggelamkan bahasa kebangsaan kita.
Sejak dipaparkan di akhbar Harian Metro semalam (Khamis), senarai perkataan baharu bahasa Melayu telah meluas ditularkan di laman sosial.
 Sumber foto: Harian Metro
Walaupun kesemua perkataan itu sebenarnya sudah lama diterbitkan dalam kamus bahasa Melayu, namun penggunaannya yang kurang menyebabkan perkataan itu kelihatan seperti perkataan baharu.
Malah, mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang sememangnya tidak pernah melihat atau mendengar perkataan itu, jauh sekali mengetahui maksudnya.
Perkongsian senarai perkataan itu di media sosial mendapat perhatian ramai netizen. Boleh dilihat, ramai juga netizen yang cuba membina ayat dengan menggunakan perkataan tersebut.
 Sumber foto: FB My Media Hub
Bagaimana dengan anda? Boleh anda bina satu ayat dengan menggunakan perkataan yang disenaraikan? - CARI |