Satu lagi sejarah dunia terukir apabila Malaysia mempelopori inisiatif memperkenalkan skim simpanan Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ini merupakan kali pertama sebuah kerajaan Islam membangunkan satu skim persaraan hari tua buat para pekerja berpandukan kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang telah digariskan oleh syariah.
Yang dimaksudkan dengan simpanan patuh syariah sudah tentulah merujuk kepada seluruh aspek operasi dan pengurusan dana-dana para pencarum yang semestinya berteraskan kepada prinsip Islam.
Ini bermakna dana-dana simpanan yang dicarum para pekerja hanya boleh dilaburkan dalam portfolio-portfolio pelaburan atau sektor-sektor yang beretika dan halal dari sudut pandangan syarak. Sekali gus dividen yang terhasil daripada pelaburan adalah sah dan halal lantaran bebas daripada aktiviti-aktiviti urus niaga dan pelaburan yang diharamkan syariah termasuklah riba, industri arak, industri pemakanan yang tidak halal, perjudian dan apa sahaja industri yang tidak beretika dan jelas bertentangan dengan apa yang digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
Bukan itu sahaja kontrak antara pencarum dengan KWSP yang bertindak sebagai wakil atau pemegang amanah turut disandarkan kepada kontrak syariah yang pernah diperkenalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW khususnya kontrak yang diistilahkan sebagai ‘Wakalah Mutlaqah’.
Melalui kontrak ini pencarum bersetuju untuk menyerahkan dana caruman mereka kepada pihak KWSP yang bertindak selaku pemegang amanah atau wakil pencarum untuk dilaburkan dalam portfolio-portfolio pelaburan yang patuh syariah.
Seperkara penting yang membezakan antara skim simpanan syariah dengan skim lama bersifat konvensional ialah antara lainnya, syarat kontrak Wakalah tidak membenarkan KWSP memberi jaminan terhadap keuntungan yang bakal dijana.
Ini bermakna pencarum dan pemegang amanah (KWSP) mesti sentiasa bersedia untuk berkongsi untung mahupun rugi, sama ada pada waktu senang mahupun susah.
Semua aspek pengurusan dana-dana ini dipantau dan diaudit secara berterusan oleh barisan penasihat syariah yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Merekalah yang menjadi sandaran para pencarum dan masyarakat umumnya agar dapat dipastikan setiap aspek operasi dan gerak kerja yang dilakukan atas nama ‘patuh-syariah’ benar-benar direalisasikan.
Sememangnya skim Simpanan Syariah KWSP amat dinanti-nantikan oleh ramai pencarum terutamanya dalam kalangan umat Islam. Sebab itulah bagaikan satu fenomena baru melanda negara apabila begitu ramai sekali rakyat berpusu-pusu mengambil peluang menukar skim KWSP mereka kepada skim simpanan syariah setelah dibuka pendaftarannya secara rasmi awal minggu lalu.
Menariknya bukan sahaja pencarum beragama Islam yang berminat terhadap skim tersebut, malah pencarum bukan Islam juga dilaporkan begitu teruja untuk menukar skim mereka kepada simpanan syariah.
Fenomena seperti ini bukanlah suatu yang asing di Malaysia kerana warga bukan Islam di negara ini sememangnya sudah lama terdedah kepada skim-skim pelaburan berasaskan syariah. Malah skim-skim simpanan dan pelaburan berasaskan syariah telah berjaya menarik minat kategori pelabur seperti mereka yang bukan sahaja mengutamakan keuntungan tetapi juga mahu wang mereka dilaburkan secara efektif dalam sektor-sektor beretika dan bermoral.
Perkembangan ini seiring dengan kepesatan pembangunan sistem kewangan Islam sejak lebih tiga dasawarsa yang lalu. Hakikatnya, Malaysia jugalah yang telah mempelopori dan menerajui sistem kewangan Islam di dunia. Institusi kewangan Islam pertama iaitu Tabung Haji telah mula beroperasi menyelenggara dan mengurus dana-dana secara patuh syariah sejak awal 1960-an.
Malah Malaysialah kerajaan pertama yang menggubal undang-undang perbankan Islam pada 1983 hingga terbentuknya Bank Islam komersial pertama di negara ini.
Sejak penubuhan Bank Islam, kerajaan Malaysia terus mengorak langkah membangunkan sektor kewangan Islam sehingga menjadikan negara ini sebagai satu-satunya negara di dunia masa kini yang mempunyai sistem kewangan Islam yang paling komprehensif dan bersifat menyeluruh meliputi pasaran perbankan, kewangan, pasaran modal dan takaful.
Bukan sahaja setakat pembangunan pasaran dan institusi, pelbagai intrumen dan produk kewangan Islam juga telah berjaya dibangunkan termasuklah instrumen yang tersohor masa kini dikenali dengan istilah sukuk iaitu intrumen kewangan alternatif kepada bon konvensional yang bebas daripada unsur riba dan perjudian yang diharamkan.
Sukuk pertama di dunia yang diinovasi dan diterbitkan oleh anak-anak tempatan pada 1986, kini merupakan antara instrumen utama dunia dalam menguruskan dana-dana yang bernilai ratusan juta bahkan berbilon-bilion.