|
Oleh Izzah Abbasy
Penyanyi Awi Rafael, 30, yang terselamat daripada maut setelah terbabit dalam satu kemalangan ngeri pada Mei lalu, mengakui dia mencari-cari Allah sehinggalah imejnya kini telah bertukar, tidak sama seperti sebelumnya.
Kemalangan tersebut menerbitkan rasa insaf dalam dirinya, sekaligus membulat tekad untuk dia mendekati Allah.
“Justeru, karya-karya yang dimuatkan dalam album terkini, Euphoria yang bakal dilancarkan pada November ini diolah berbeza terutama liriknya yang berunsur nasihat, selain menggunakan medium muzik sebagai medan dakwah.
“Nyawa saya ketika itu ibarat berada di hujung tanduk. Jarak kesan hentaman yang berlaku di belakang kepala saya hanya beberapa sentimeter sahaja dari kawasan yang boleh mengakibatkan maut. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah panjangkan usia untuk terus bernafas sehingga ke hari ini.
“Lantaran itu, saya tidak mahu berlengah lagi untuk terus mengejar duniawi. Tiba masanya untuk saya berbuat atau menyumbang sesuatu terhadap komuniti. Jadi, Euphoria adalah medium terbaik untuk dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Mengimbas balik insiden Mei lalu, Awi seolah-olah nyawa-nyawa ikan dek kemalangan ngeri yang dialaminya setelah dilanggar dan diseret sebuah kereta ketika dia menunggang motosikal berkuasa besar yang baru sahaja dua minggu dibelinya.
Dalam pada itu, karya Mulakan Dengan Bismillah juga diharap dapat meninggalkan impak tersendiri apabila ia dilancarkan sebagai single seterusnya kelak.
|
|