View: 558|Reply: 0
|
[Terengganu]
Mamogram, ujian saringan kanser serviks percuma hingga Disember
[Copy link]
|
|
Kuala Nerus: Seramai 2,820 wanita di Terengganu berpeluang melakukan saringan kanser serviks (HPV DNA) dan mamogram secara percuma sehingga 31 Disember depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, 2,340 orang disasarkan bagi HPV DNA, manakala 480 orang lagi untuk pemeriksaan mamogram.
Katanya, program adalah manfaat daripada kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita atau WCARE hasil inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKW) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Katanya, WCARE dilancarkan bertujuan memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita dengan fokus utama adalah aspek pencegahan kanser reproduktif di peringkat awal.
"Ujian HPV DNA akan dilakukan sendiri dengan tunjuk ajar jururawat terlatih LPPKN dan kaedah ini diperkenalkan sebagai pilihan kepada wanita yang masih berasa malu untuk melakukan ujian pap smear biasa.
"Pemeriksaan untuk HPV DNA boleh dibuat di Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di Kuala Terengganu, Dungun dan Besut manakala bagi pemeriksaan mamogram pula, mereka perlu ke KNS untuk membuat temu janji terlebih dahulu dengan ujian akan dilakukan di Salam Hospital dan KMI Kuala Terengganu Medical Centre," katanya.
Hanafiah semasa sidang media sempena sambutan Hari Ibu dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus. FOTO GHAZALI KORI
Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 dan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCARE) di Taman Tasik Kuala Nerus di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Alias Harun dan Pengarah LPPKN Terengganu Muhamad Noh Abdullah.
Hanafiah berkata, seramai 804 wanita sudah menjalani ujian HPV DNA bagi tempoh antara 2020 hingga April lalu dengan satu kes positif dikesan di Terengganu.
Katanya, 4,649 wanita pula menjalani pemeriksaan mamogram pada 2013 hingga 2020, dan 291 orang daripadanya memerlukan pemeriksaan susulan dan empat kes dikesan positif kanser payudara.
"Bagi pemeriksaan mamogram, ia diberikan secara percuma kepada wanita yang berpendapatan isi rumah RM10,000 dan ke bawah (keutamaan kumpulan B40 dan M40) manakala mereka yang berpendapatan isi rumah melebihi RM10,000 akan diberikan subsidi RM50.
"Saya ingin menyeru kepada semua ibu dan wanita di Terengganu yang memenuhi kriteria ditetapkan menjalani pemeriksaan ini sebagai pencegahan awal," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ga-disember-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|