Aktivis transgender dari Malaysia, Nisha Ayub, menerima Anugerah Wanita Berani Antarabangsa. ― Foto ehsan Twitter/Kedutaan AS di Kuala LumpurWASHINGTON DC, 30 Mac ― Walau pernah dilokap kerana “berpakaian lelaki” dan diserang secara seksual di penjara, aktivis transgender tempatan Nisha Ayub diiktiraf dengan Anugerah Wanita Berani Antarabangsa oleh Amerika Syarikat (AS) semalam.
Nisha ― pengasas bersama dua NGO untuk kebajikan dan kesedaran transgender, SEED dan Justice for Sisters ― antara 14 wanita yang diiktiraf oleh Setiausaha Negara AS di Washington DC dan merupakan mak nyah pertama yang menerima anugerah tersebut.
“Nisha Ayub, untuk usaha luarbiasa anda untuk menggalakkan masyarakat yang lebih adil, saksama dan toleran tidak kira orientasi seks dan identiti jantina, kami iktiraf anda sebagai seorang wanita berani,” kata John Kerry semalam dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung.
“Nisha telah menjadi mangsa diskriminasi dan keganasan di Malaysia selama beberapa tahun, malah dipenjarakan selama tiga tahun di mana beliau diperlakukan dengan deraan seksual dan dimalukan.
“Walaupun begitu, Nisha mengabdikan hidupnya untuk melindungi komuniti transgender melalui usaha beliau dengan NGO SEED. Beliau menyokong pekerja seks dan mereka yang hidup dengan HIV.
“Beliau memberi kidmat guaman dan memberi kesedaran kepada penindasan terhadap golongan LGBT. Dan beliau tetap menghadapi ancaman, namun masih komited terhadap tugas beliau kerana itulah tumpuan beliau dan beliau sedar itulah perkara yang patut dilakukannya,” tambah Kerry.
Sebelum ini, peguam tersohor Datuk Ambiga Sreenevasan juga pernah diiktiraf dengan anugerah sama pada tahun 2009.
Tahun lepas, Nisha diiktiraf dengan dua anugerah antarabangsa ― Anugerah Asia LGBT Milestone, dan satu lagi daripada Human Rights Watch.
Baca seterusnya di Malay Mail Online.